Timbalan menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin menegaskan bahawa polisi kenderaan elektrik (EV) Malaysia bukan sekadar untuk melindungi jenama automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua, sebaliknya menerusi polisi tersebut kerajaan dapat menggalakkan syarikat EV dari luar untuk beroperasi di Malaysia dan bekerjasama dengan lebih banyak pembekal-pembekal tempatan.

“Kami mahu pengeluar asing bekerjasama dengan vendor tempatan kami dalam ekosistem ini supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan mereka, meningkatkan rantaian nilai dan meletakkan Malaysia sebagai pengeksport komponen dan alat ganti automotif di samping bersedia untuk pemanduan autonomi pada masa depan,” kata Sim dalam laporan The Edge.

“Itulah objektifnya, untuk memperkukuhkan keseluruhan ekosistem. Ekosistem ini bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada dua syarikat atau hanya Proton dan Perodua tetapi kepada banyak pengeluar kereta, termasuk jenama Eropah, Jepun dan China yang beroperasi di Malaysia,” tambahnya ketika memberikan respon berkenaan isu polisi baharu yang diumumkan oleh MITI minggu lalu.

Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI

Polisi tersebut mensyaratkan bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp). Penerangan lebih terperinci berkenaan polisi ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Menurut Sim dasar baharu ini bertujuan untuk menggalakkan pengeluar kereta asing untuk mewujudkan operasi pemasangan tempatan atau bekerjasama dengan pengeluar dan pembekal kontrak Malaysia. Beliau turut menolak kebimbangan bahawa harga minimum RM200,000 untuk EV import akan mengehadkan akses kepada model yang lebih murah, kerana pengeluar kereta masih boleh menawarkan EV berharga antara RM100,000 dan RM200,000 melalui pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

“Jika mereka mahu menetapkan harga EV antara RM100,000 dan RM200,000, mereka boleh bekerjasama dengan pengeluar kontrak untuk mengilangkannya di sini,” katanya.

Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI

Sim juga memberitahu bahawa kerajaan kini sedang fokus untuk membina “ekosistem lengkap” merangkumi pembuatan, rantaian bekalan, infrastruktur, bakat dan inovasi. Menurutnya lagi sektor automotif Malaysia menyumbang anggaran RM80 bilion hingga RM95 bilion kepada keluaran dalam negara kasar pada tahun 2025 dan menyokong lebih 750,000 pekerjaan.

Sim menegaskan bahawa industri semikonduktor tempatan di mana Malaysia adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, akan menjadi sebahagian daripada kekuatan dan bakal melengkapkan industri tersebut terutamanya apabila EV dan kenderaan autonomi semakin bergantung kepada perisian dan cip.

“Matlamat kami jelas. Kami ingin mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu di mana industri automotif dan semikonduktor bergerak secara sinergi. Ini akan membolehkan kita memperoleh nilai yang lebih besar, memperkukuh keupayaan teknologi kami dan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam penyelesaian mobiliti generasi akan datang,” tambahnya.

The post Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts