Toyota Yaris Cross akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia minggu lalu. Seperti yang kita sedia maklum, ini adalah sebuah SUV segmen B, kembar kepada Perodua Traz. Dan, oleh kerana Traz sebelum ini ditawarkan dengan senarai kelengkapan yang asas, Yaris Cross tiba untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh “Traz AV” dalam pasaran.
Apa perbezaan di antara dua model saudara kembar ini? Kita mulakan dengan harga. Toyota Yaris Cross dijual dengan harga bermula RM99,900 (atas jalan, belum termasuk insuran) untuk varian 1.5S. Ia kemudian naik menjadi RM109,900 bagi varian 1.5S Hybrid. Ini bermakna, bagi varian petrol, Yaris Cross adalah RM18,800 lebih mahal berbanding Perodua Traz 1.5 H yang setara — Perodua Traz turut didatangkan dengan varian paling asas 1.5 X dengan harga RM76,100.
Jadi, adakah berbaloi untuk membayar lebihan harga RM18,800 untuk mendapatkan Toyota Yaris Cross? Sebelum itu, perlu juga jelas bahawa antara kedua-dua model terbabit, ia tidak melibatkan sebarang perbezaan dari segi sistem janaan kuasanya. Seperti Traz, Yaris Cross juga menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder yang sama, yang menghasilkan sebanyak 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi juga sama — kedua-duanya menggunakan Dual Mode CVT (D-CVT) daripada Daihatsu — walaupun untuk Yaris Cross, ia dilengkapi dengan sequential mode dengan nisbah maya tujuh-kelajuan, dengan kuasanya memacu roda hadapan.
Tambahan RM10,000 akan membolehkan anda untuk mendapatkan sistem janaan hibrid, yang dikuasakan oleh enjin 2NR-VEX kitaran Atkinson, yang menghasilkan sebanyak 91 PS pada 5,500 rpm dan 121 Nm tork dari 4,000 rpm hingga 4,800 rpm. Ini digandingkan juga dengan motor elektrik yang menjana 80 PS/141 Nm, dan kotak gear E-CVT untuk jumlah output keseluruhan sistem sebanyak 111 PS. Ini sistem yang sama seperti Vios Hybrid — Yaris Cross 1.5S Hybrid juga ditawarkan dengan harga yang sama dengan Vios Hybrid GR Sport spesifikasi tertinggi.
Reka bentuk Yaris Cross juga kelihatan lebih cantik dan kurang rumit, berbanding Traz yang tampil dengan banyak sentuhan rekaan yang “sibuk”. Gril trapezoid Yaris Cross juga mempunyai sedikit persamaan dengan gril Corolla Cross pra-facelift. Ia juga menampilkan lampu hadapan yang menonjol dan kelihatan seperti tidak dicantumkan secara paksa seperti pada bukaan heksagon Traz.
Di bawahnya, bukaan udara lebih lebar, manakala lampu kabus LED segi tiga di sekelilingnya memberikan Yaris Cross imej lebih berisi dan tinggi berbanding kemasan bentuk L pada Traz yang kelihatan sedikit janggal. Terdapat juga perubahan yang lebih kecil — lampu hadapan LED yang tajam kelihatan sama antara kedua-dua model, tetapi Yaris Cross menerima sedikit kemasan krom di bawah projektor untuk penampilan yang lebih menarik.
Rekaan rim juga berbeza. Yaris Cross menggunakan rim aloi dua-tona 18-inci yang lebih menarik dengan saiz satu-inci lebih besar berbanding Traz. Tayar pula hadir dengan saiz 215/55 R18 (berbanding 215/60 R17 untuk Traz). Model Perodua bagaimanapun menggunakan tayar ganti yang lebih lebar, iaitu 205/60 R16 berbanding 195/65 R16.
Di bahagian belakang, Yaris Cross tidak mengenakan jalur kemasan hitam di antara dua sisi lampunya untuk tampil lebih ringkas berbanding Traz. Bampar belakang juga sedikit berbeza, dengan sebahagian besarnya diperbuat daripada plastik hitam yang tidak dicat. Skid plate warna perak di bampar hadapan dan belakang serta jalur skirting sisi menjadi kemasan tambahan yang melengkapkan penampilan Yaris Cross; Traz nampak lebih ringkas dan kosong untuk hal ini.
Satu aspek yang menjadi kelebihan Traz ialah adanya bumbung hitam sebagai pilihan, yang tidak ditawarkan untuk Toyota Yaris Cross, bahkan untuk varian hibrid yang lebih mahal. Pilihan warna Yaris Cross juga agak serupa dengan Perodua, dengan Dark Turquoise (biru), Silver Metallic, Attitude Black, Spicy Scarlet SE dan Platinum White Pearl (pilihan dengan tambahan RM400) dikongsi untuk penawaran kedua-dua model tersebut.
Di dalam, perbezaannya lebih banyak. Paling ketara, untuk Yaris Cross tidak diberikan kemasan merah berkilat yang mencolok mata di papan pemukanya. Ini digantikan dengan warna hitam berkilat yang sederhana. Panel sentuhan lembut di papan pemuka juga tidak menggunakan jahitan dan kemasan warna merah, sebaliknya digantikan dengan warna biru. Tempat duduk pula menerima balutan kulit buatan sebagai standard (dengan rekaan jejaring untuk model Hibrid) dan pelarasan kuasa lapan-hala untuk pemandu.
Selain itu, model Toyota berkenaan turut diberikan peningkatan bagi paparan meternya, yang terdiri daripada unit digital sepenuhnya bersaiz tujuh-inci (Traz menggunakan paparan meter analog, dan ini sangat ketinggalan). Skrin sentuh untuk infotainment pula bersaiz 10.1-inci, satu inci lebih besar berbanding Traz dan menawarkan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Yaris Cross hibrid juga menerima ciri pengecas tanpa wayar Qi siap pasang yang terletak di bawah suis kawalan penghawa dingin. Bagi versi petrol pula, ia diberikan pilihan unit aftermarket dengan harga RM550. Anehnya, unit berkenaan merupakan pengecas Qi2 25-watt yang dinaik taraf — ini bermakna, ia boleh mengecas iPhone tertentu dengan kadar yang lebih pantas. Ironinya, ini juga bermakna model yang lebih mahal menerima pengecas dari jenis yang lebih rendah.
Beralih kepada perbezaan yang lebih kecil pula. Yaris Cross menerima kamera 360-darjah sebagai ciri standard (yang hanya ditawarkan untuk Traz H), tetapi tidak diberikan butang khusus untuknya di stereng. Butang kunci/buka kunci pintu pula berada di pintu pemandu; untuk Traz ia diletak di papan pemuka, bahagian bawah bersebelahan dengan kawalan pendingin. Selain itu, penghawa dingin automatik, enam-pembesar suara (bukan jenama Pioneer seperti di Thailand) dan pintu belakang berkuasa dan bebas kendalian tangan juga diberikan sebagai ciri standard di sini. Versi petrol menerima paddle shifter untuk sequential mode CVT-nya.
Toyota Yaris Cross turut hadir dengan lampu ambient yang terletak di pintu dan konsol tengah, satu lagi kelebihannya ke atas Traz. Varian hibridnya pula menerima tambahan lampu di ruang kaki serta scuff plate di bahagian tepi. Selebihnya, runag dalaman antara dua model ini berkongsi ciri yang sama. Antaranya ada pelarasan stereng tilt dan teleskopik, pelapik bumbung hitam, brek parkir elektronik, corong pendingin di belakang dan port USB-C hadapan dan belakang yang semuanya ditawarkan sebagai standard.
Mungkin perbezaan yang paling penting melibatkan fungsi bantuan pemandu. Kedua-dua kereta ini didatangkan dengan brek kecemasan autonomous, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah guna pedal serta lampu tinggi automatik. Bagaimanapun, hanya Yaris Cross yang mempunyai kawalan melayar adaptif (ACC) dengan bantuan Stop/Go serta bantuan ke tengah lorong untuk fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2.
Toyota Yaris Cross 1.5S Hybrid di Malaysia
Toyota Yaris Cross 1.5S di Malaysia
The post Toyota Yaris Cross vs Perodua Traz — apa yang beza? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















































































































































































