Malaysia mensasarkan untuk mencapai keupayaan pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang tahun 2030, menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Menurut beliau, sasaran berkenaan adalah sebagai langkah awal negara memasuki era mobiliti pintar dan automotif masa depan. Justeru, kerajaan mahu industri mula membuat persediaan menyeluruh membabitkan industri automotif, vendor tempatan, pembangunan semikonduktor, perisian serta infrastruktur jalan raya negara, laporan Berita Harian.

“Malaysia ketika ini masih berada pada peringkat awal dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi dan perbincangan mengenai hala tuju industri itu perlu dipercepatkan.

“Kita mahu menuju ke arah autonomi Tahap 3 menjelang 2030. Terdapat lima tahap autonomi dan Malaysia masih di peringkat permulaan. Sebab itu kita mahu industri mula melihat ke arah ini kerana pembangunan kenderaan autonomi membabitkan perubahan besar,” katanya selepas melancarkan Persidangan Automotif dan Mobiliti ASEAN ke-2 semalam.

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, pembangunan teknologi berkenaan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran kenderaan semata-mata, tetapi turut membabitkan pembangunan cip, sensor, sistem perisian serta peningkatan kemahiran vendor tempatan.

Malaysia sasar pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang 2030, industri perlu bersedia – MITI

“Pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengurusan infrastruktur jalan raya juga perlu bersedia termasuk menaik taraf papan tanda dan kemudahan jalan lain bagi menyokong penggunaan teknologi itu. Ini bukan sekadar industri automotif tetapi membabitkan keseluruhan negara dan kita perlu mula bersedia dari sekarang,” katanya.

Menurut piawaian yang dibangunkan oleh SAE International, sistem pemanduan autonomi dikategorikan kepada enam tahap, bermula daripada Tahap 0 yang tidak melibatkan sebarang automasi pemanduan, sehingga Tahap 5 yang mewakili keupayaan pemanduan sendiri sepenuhnya dalam semua keadaan.

“Saya fikir inilah perbincangan yang perlu dimulakan kerana kita masih terlalu tertumpu kepada pembuatan kenderaan tradisional, sedangkan Malaysia masih belum benar-benar mula membincangkan mengenai pemanduan autonomi secara serius, dan perkara ini adalah sesuatu yang saya mahu usahakan,” katanya menurut laporan The Edge.

Tambahnya, perkembangan teknologi autonomi di Amerika Syarikat menunjukkan pertumbuhan pesat dengan empat bandar sudah melaksanakan teknologi berkenaan ketika ini sebelum meningkat kepada 40 bandar tahun ini. Di manajumlah itu dijangka terus bertambah kepada 60 bandar lagi tahun depan sekali gus menunjukkan perkembangan teknologi berkenaan berlaku pada kadar eksponen.

“Malaysia juga akan menuju ke arah itu dan industri tempatan perlu bersedia untuk menjadi pembekal sensor, cip dan perisian berkaitan teknologi autonomi,” katanya.

The post Malaysia sasar pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang 2030, industri perlu bersedia – MITI appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts