Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan bahawa Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini sudahpun dilancarkan pada Malaysia, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM518,888. Model ini menampilkan pelbagai tambahan perincian berbanding GLC43 Coupé generasi C254 biasa yang dilancarkan pada November 2024.
Masih lagi merupakan model pemasangan tempatan (CKD), GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition ini secara standard diberikan AMG Night Package Exterior II. Jadi ia menerima kelengkapan seperti perapi-perapi luaran krom gelap termasuk pada gril hadapan, logo Mercedes-Benz serta emblem model di belakang, dan juga penutup corong pengisi bahan api AMG dalam kemasan krom perak bersama tulisan AMG dan serlahan hitam.
Menurut Mercedes-Benz Malaysia, GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition ini turut ditambah dengan AMG Real Performance Sound untuk peningkatan bunyi enjin dalam kabin. Ia disampaikan dalam dua tahap iaitu Balanced dan Powerful yang boleh dipilih melalui skrin sesentuh.
Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana versi Nightfall Edition ini masih menerima enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris petrol berkuasa 421 PS (418 hp atau 310 kW) pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm pada takat 5,000 rpm, digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt berkuasa 14 PS (13 hp atau 10 kW) dan tork 150 Nm.
Kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi transmisi AMG Speedshift MCT 9G sembilan-kelajuan dan juga sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.8 saat dan mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j.
Perincian-perincian lain juga masih sama termasuk rim aloi AMG jejari-Y 21-inci dengan angkup brek kemasan perak, casis dengan AMG Ride Control yang menawarkan tahap serapan hentakan dari Comfort ke Sport yang boleh dipilih oleh pemandu serta stereng gandar belakang dengan sudut putaran sehingga 2.5 darjah bagi meningkatkan kelincahan dan juga kestabilan.
Manakala pada sebelah dalam, ia diberikan tempat duduk sport AMG dengan upholsteri kulit sintetik Artico, perapi-perapi gentian-karbon AMG serta roda stereng AMG balutan kulit Nappa. Sama seperti model-model AMG lain, GLC43 Coupe ini turut menerima fungsi dan grafik khas AMG pada sistem infotainmen MBUX, serta bunyi dialirkan menerusi sistem audio sekeliling Burmester 3D.
Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition ini merupakan model Nightfall Edition kedua dilancarkan di Malaysia. Mac lalu MBM sudahpun melancarkan Nightfall Edition untuk model GLA iaitu GLA200 Nightfall Edition dan GLA250 Nightfall Edition.
GALERI: Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé 2024
The post Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia – RM518,888, kelengkapan dipertingkat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































