KTM Malaysia memperkenalkan barisan lengkap motosikal KTM 390 Adventure 2026 ke pasaran tempatan dengan harga bermula dari RM27,300,iaitu untuk 390 Enduro R dan 390 SMC R. Sementara itu, 390 Adventure X pula dijual pada harga RM29,300 dan model paling tinggi dalam barisan ini, 390 Adventure R, ditawarkan pada harga RM33,300.
Semasa acara yang sama, KTM turut mengumumkan harga bagi model naked 390 Duke yang dijangka tiba di Malaysia pada suku keempat tahun 2026 dengan tanda harga RM30,300. Semua harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Bermula tahun 2026, setiap motosikal KTM yang dijual di Malaysia turut didatangkan dengan jaminan selama empat tahun bagi kecacatan pengilangan, selain quickshifter dua hala sebagai kelengkapan standard.
Kesemua model dalam keluarga KTM 390 ini menggunakan enjin LC4c satu silinder baru bersesaran 398.7 cc berserta penyejukan cecair. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 45 PS serta tork 39 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan rantai. KTM turut menetapkan selang servis setiap 10,000 km bagi enjin ini.
Sistem brek juga dikongsi bersama dalam keseluruhan rangkaian, menggunakan komponen daripada Bybre, jenama mampu milik milik Brembo. Bahagian hadapan dilengkapi angkup brek dua piston bersama cakera terapung, manakala roda belakang menggunakan angkup satu piston. Sistem ABS dua saluran dipasang secara standard dan boleh ditutup untuk tunggangan offroad.
Bagi model 390 Adventure R, ia direka khusus untuk kegunaan lasak dan tunggangan offroad. Model ini dilengkapi suspensi WP Apex dengan jarak gerakan 230 mm di hadapan dan belakang, selain jarak dari tanah setinggi 272 mm. Fork jenis USD berdiameter 43 mm di hadapan boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan, manakala penyerap hentak belakang jenis monoshock turut menawarkan pelarasan prabeban dan lantunan.
Adventure R menggunakan rim spoked bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipadankan dengan tayar Mitas Enduro Trail E07+. Sistem brek hadapan pula menggunakan angkup radial Bybre. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 870 mm, manakala berat keseluruhan adalah 176 kg apabila tangki 14 liter diisi penuh.
Untuk penunggang yang lebih cenderung kepada penggunaan jalan raya dan touring, KTM menawarkan 390 Adventure X. Model ini menggunakan rim auminium bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Suspensi hadapan WP Apex tidak boleh dilaras tetapi menawarkan jarak gerak 200 mm, sama seperti monoshock belakang yang hadir dengan pelarasan pra beban.
Sistem brek Adventure X hampir sama seperti Adventure R dengan cakera brek hadapan bersaiz 320 mm dan angkup axial Bybre, manakala bahagian belakang menggunakan cakera 240 mm bersama angkup satu piston. Berat motosikal ini ialah 176 kg termasuk 14 liter bahan api, sementara ketinggian tempat duduk dikekalkan pada 870 mm.
Bagi peminat tunggangan dual-purpose dan enduro tegar, KTM menyediakan 390 Enduro R yang dibangunkan lebih fokus kepada kegunaan offroad. Model ini menggunakan cakera brek hadapan lebih kecil berukuran 285 mm, manakala brek belakang kekal dengan cakera 240 mm.
Suspensi hadapan menggunakan fork USD WP Apex 43 mm yang boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan, sementara bahagian belakang disokong monoshock WP Apex dengan pelarasan prabeban. Jarak gerak suspensi kekal 230 mm di hadapan dan belakang bersama kelegaan tanah 272 mm. KTM turut menawarkan pilihan naik taraf penyerap hentak belakang dengan pelarasan tambahan untuk lantunan.
390 Enduro R menggunakan rim spoked bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sesuai untuk tunggangan lasak. Berat keseluruhan motosikal ini ialah 165 kg termasuk sembilan liter bahan api, dengan ketinggian tempat duduk mencecah 890 mm.
Melengkapkan keluarga KTM 390 ialah model supermoto 390 SMC R, yang membawa kembali identiti motosikal “jahat” KTM ke pasaran Malaysia. Model ini dipadankan dengan rim jejari 17 inci bersama rim aluminium serta jarak gerakan suspensi 230 mm dan kelegaan tanah 270 mm.
Bahagian hadapan menggunakan fork USD WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan dan lantunan, sementara monoshock belakang turut menawarkan pelarasan prabeban dan lantunan. Dengan tangki bahan api sembilan liter, 390 SMC R mencatat berat 161 kg dan hadir dengan ketinggian tempat duduk 860 mm.
GALERI: KTM 390 Adventure X
GALERI: KTM 390 Adventure R
GALERI: KTM 390 Enduro R
GALERI: KTM 390 SMC R
The post KTM 390 Adventure R, Adventure X, SMC R, Enduro R dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM27k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































































