Proton eMas 5 secara rasmi dilancarkan di Singapura ketika berlangsungnya acara The Car Expo baru-baru ini di sana. Sebelum pelancarannya, model berkenaan terlebih dahulu membuat kemunculan di Singapore Motorshow 2026 pada Januari lalu. Ini merupakan model kedua Proton dilancarkan di Singapura selepas ia kembali semula ke pasaran seberang tambak tersebut, dengan model pertama adalah Proton eMas 7 yang lebih besar diperkenalkan pada September tahun lalu oleh pengedar sahnya iaitu Vincar Group.
Untuk pasaran Singapura Proton eMas 5 hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu varian Premium, dan spesifikasi yang diberikan adalah sama seperti varian Premium di pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga SGD159,988 (sekitar RM495k) termasuk Sijil Pemilikan (COE). Khas untuk pelanggan yang membuat tempahan pada acara berkenaan, mereka akan diberikan diskaun sebanyak SGD5,000 (RM15.5k). Semua pelanggan yang membeli model ini menerima waranti bateri selama 10-tahun dan juga data perantauan selama lima tahun merangkumi Singapura dan Malaysia, serta sokongan waranti rentas sempadan.
Seperti yang disebut tadi, eMas 5 Premium pasaran Singapura ini menerima spesifikasi yang sama seperti di Malaysia. Jadi ia dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm yang memacu roda belakang, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj. Jadi eMas 5 Premium ini memenuhi COE EV Kategori A di Singapura iaitu EV dengan kuasa motor maksima sehingga 150 PS (148 hp or 110 kW). Ketika artikel ini ditulis, harga COE Kategori A selepas pembidaan pertama Mei 2026 ialah SGD124,790 (RM386k), kira-kira 1.4% lebih tinggi daripada sebelumnya.
Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh. Untuk mengecas pula eMas 5 Premium ini boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga pengecas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit.
Antara perincian standard yang diberikan termasuk lampu hadapan LED automatik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, upholsteri leatherette, sistem masuk dan mula tanpa kunci, enam pembesar suara, pendingin hawa automatik dengan corong kabin belakang, skrin sesentuh 14.6-inci untuk sistem infotainmen, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Piihan warna bagi eMas 5 pasaran Singapura ini juga sama seperti di Malaysia iaitu Moonstone White, Graphite Silver, Slate Grey, Marble Cream dan Quartz Rose, di mana semuanya hadir dengan bumbung berwarna hitam. Manakala untuk tema kabin, secara standard eMas 5 menerima kemasan dalaman berwarna Flint Grey, manakala pembeli yang memilih warna Marble Cream dan Quartz Rose akan diberikan kemasan dalaman Alabaster White yang lebih cerah.
The post Proton eMas 5 dilancar di Singapura – RM495k dengan COE, Premium shj, spesikasi sama dengan Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















