MForce Bike Holdings melancarkan dua model motosikal kembara baru untuk pasaran Malaysia iaitu Morbidelli T502X dan Morbidelli T252X. Harga jualan ditetapkan pada RM28,888 untuk T502X dan RM16,888 bagi T252X, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian turut disertakan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.
Bagi model T502X, ia ditawarkan dalam pilihan warna Bulk Black dan Thunder Blue. Kuasa dijana oleh enjin dua silinder selari 486 cc DOHC lapan injap dengan penyejukan cecair, menghasilkan 46.9 hp pada 8,500 rpm serta tork maksimum 45 Nm pada 6,750 rpm. Sistem transmisi menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper, dan kuasa disalurkan kepada roda belakang melalui pacuan rantai.
Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork jenis terbalik dengan pelarasan serapan, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak monoshock dengan pelarasan pra-beban dan serapan. Sistem brek hadapan dibekalkan oleh J Juan dengan dua cakera bersaiz 300 mm serta angkup empat piston, manakala belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup satu piston. Sistem ABS dual-channel disediakan secara standard.
T502X menggunakan tayar rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar Pirelli masing-masing saiz 110/80 dan 150/70. Maklumat penting dipaparkan melalui skrin TFT-LCD tujuh inci yang menyokong sambungan telefon pintar menerusi sistem T-Box dan aplikasi Morbidelli. Pencahayaan penuh LED digunakan, termasuk lampu utama jenis projektor.
Ciri kemudahan tunggangan merangkumi mod tunggangan Standard dan Offroad, kawalan cengkaman, pemantauan tekanan angin tayar serta penghadang angin boleh laras. Turut disediakan adalah beg tepi berkapasiti 32 liter dan kotak belakang 45 liter. Berat keseluruhan dianggarkan 210 kg, dengan tangki bahan api 18 liter dan ketinggian tempat duduk 830 mm.
Sementara itu, model T252X yang hadir dalam warna Tundra White dan Bulk Black menggunakan enjin dua silinder berkapasiti 249.5 cc, menghasilkan 33.5 hp pada 12,000 rpm serta tork maksimum 20 Nm pada 10,000 rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan dan pacuan rantai ke roda belakang.
Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik jenis terbalik, manakala belakang dipadankan dengan monoshock berserta larasan pra-beban. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang, dengan angkup empat piston di hadapan serta satu piston di belakang.
Saiz roda ialah 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dengan tayar bersaiz 110/80 dan 150/60. Paparan maklumat disediakan melalui skrin TFT-LCD tujuh inci dalam orientasi menegak yang menyokong sambungan Bluetooth ke telefon pintar, selain soket pengecas USB Type-A dan Type-C.
Antara bantuan tunggangan yang disediakan adalah termasuk kawalan cengkaman, ABS dual channel serta tiga mod tunggangan iaitu Standard, Sport dan Off-Road. Model ini juga dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar. Berat keseluruhan adalah sekitar 180 kg, dengan tangki bahan api 18 liter dan ketinggian tempat duduk 820 mm. Beg barangan turut disediakan sebagai kelengkapan standard.
GALERI: Morbidelli T252X 2026
GALERI: Morbidelli T252X 2026
The post Morbidelli T502X dan T252X dilancar di M’sia – enjin dua silinder 486 cc dan 250 cc, RM29k dan RM17k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.























