Nampak gayanya masyarakat di Malaysia kian menerima kenderaan elektrik bateri (BEV) apatah lagi model kenderaan jenis ini semakin membanjiri pasaran tempatan terutamanya yang dibawa masuk dari China. Buktinya, sejak tahun 2018 hingga kini, jumlah terkumpul bagi penggunaan kenderaan BEV di Malaysia telah mencecah 94,165 unit.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya semalam.

Menurut beliau, EV bukan lagi sekadar trend global, tetapi telah menjadi satu keperluan strategik yang berkait rapat dengan aspek pelaburan, daya saing industri, keselamatan tenaga dan kesejahteraan rakyat.

“Hari ini (semalam), mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) Bilangan 1/2026 di Menara MITI. Mesyuarat ini bagi memperkukuhkan pembangunan ekosistem EV negara. Malaysia telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam penggunaan EV, khususnya bagi kategori BEV,” katanya.

Kenderaan elektrik bateri (BEV) kini cecah 94,165 unit di Malaysia sejak tahun 2018 – Fadillah Yusof

Menerusi mesyuarat berkenaan, beliau juga berharap ia dapat mengenal pasti penyelesaian praktikal dan berimpak tinggi, yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi memperkukuh pembangunan industri serta ekosistem EV negara secara lebih progresif, terselaras dan berdaya saing.

Baru-baru ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan perubahan terhadap polisi EV yang diimport sepenuhnya (CBU) selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai selama empat-tahun untuk EV yang diimport sepenuhnya di bawah skim francais Approved Permit (AP) pada 31 Disember 2025.

Menurut MITI, bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp). BACA SELANJUTNYA DI SINI.

Jelasnya, polisi ini bukan sekadar untuk melindungi jenama automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua, sebaliknya menerusi polisi tersebut kerajaan dapat menggalakkan syarikat EV dari luar untuk beroperasi di Malaysia dan bekerjasama dengan lebih banyak pembekal-pembekal tempatan.

The post Kenderaan elektrik bateri (BEV) kini cecah 94,165 unit di Malaysia sejak tahun 2018 – Fadillah Yusof appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts