Foton Tunland V7 dan V9 kini rasmi dilancarkan di Malaysia selepas membuat penampilan awal di Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) minggu lalu. Kedua-dua model pikap ini menandakan kemunculan pertama nama Tunland di pasaran tempatan, meskipun model generasi terdahulu pernah ditawarkan di sini menggunakan nama berbeza.
Dengan saiz badan yang lebih besar berbanding kebanyakan pesaing dalam segmen satu tan, Tunland V7 dan V9 tampil dengan imej lebih gagah dan menyerlah di atas jalan raya, khususnya bagi pembeli yang mahukan trak gaya hidup premium.
Harga jualan bermula dari RM123,800 untuk Tunland V7, manakala Tunland V9 ditawarkan pada harga RM143,800. Sempena pelancaran, Foton turut menawarkan rebat RM2,000 kepada 888 pembeli terawal, menjadikan harga efektif masing-masing RM121,800 dan RM141,800. Kedua-dua model hadir bersama jaminan selama tujuh tahun atau 200,000 km, selain pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk pelanggan awal.
Dari segi dimensi, kedua-dua trak ini berkongsi ukuran sama iaitu 5,617 mm panjang, 2,090 mm lebar dan 1,955 mm tinggi, dengan jarak roda mencecah 3,355 mm. Saiz ini menjadikan Tunland V7 dan V9 jauh lebih besar berbanding Toyota Hilux generasi semasa, malah menghampiri dimensi pikap bersaiz penuh seperti Ford F-150.
Walaupun begitu, kapasiti muatan yang ditawarkan ialah 895 kg, sedikit rendah berbanding standard satu tan yang biasa dilihat dalam segmen ini. Namun, keupayaan menunda sehingga 3,500 kg masih setanding dengan pesaing utama lain.
Kedua-dua model menggunakan enjin turbodiesel empat silinder 2.0 liter Aucan 4F20 yang dibangunkan bersama Cummins. Enjin ini dilengkapi pengecas turbo geometri berubah (VGT) serta sistem hibrid ringkas 48-volt. Kuasa maksimum dihasilkan ialah 163 PS pada 3,600 rpm dengan tork 400 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Motor elektrik turut memberikan tambahan 12 PS dan 50 Nm ketika pecutan, manakala penggunaan bahan api dikatakan sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km.
Sistem pacuan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF bersama sistem pacuan empat roda dan transfer gear BorgWarner dengan mod low-range. Tunland V9 menerima beberapa penambahan seperti locking differential belakang serta stereng kuasa elektrik, manakala V7 masih menggunakan sistem hidraulik. Kedua-dua model menawarkan enam mod pemanduan termasuk Sand, Mud dan Snow untuk kegunaan offroad.
Perbezaan utama antara V7 dan V9 lebih tertumpu pada reka bentuk serta kelengkapan. Tunland V7 menggunakan lampu utama LED berkembar menegak bersama gril besar yang mengingatkan kepada Ford F-150. Sementara itu, V9 tampil lebih agresif dengan rekaan hadapan mirip Ram 1500, termasuk lampu hadapan mendatar dan gril trapezoid gaya TRX. Kedua-duanya turut dilengkapi elemen seperti bukaan udara fender hiasan, pemegang pintu besar dan lampu belakang berbentuk segi tiga.
V9 tampil lebih mewah dengan tambahan lampu belakang LED penuh melintang, rel bumbung, sports bar, fender flare hitam serta side step yang lebih menarik. Kedua-dua model hadir dengan bed liner dan tailgate damper, namun hanya V9 menerima tangga binaan dalam pada pintu belakang. Rim aloi 18 inci berwarna hitam turut diberikan, dengan rekaan berbeza mengikut varian.
Bahagian kabin menampilkan susun atur moden dengan papan pemuka mendatar, kawalan pendingin hawa fizikal serta konsol tengah yang lebar. Rekaan kemasan berbentuk U terbalik pada bahagian tengah pula diinspirasikan daripada tuil kawalan kapal layar. Untuk pasaran Malaysia, kedua-dua model dijangka menerima paparan instrumen digital 12.3 inci bersama skrin infotainmen 14.6 inci yang menyokong Apple CarPlay.
Ruang dalaman turut menawarkan tempat duduk belakang boleh lipat yang mendedahkan bateri lithium-ion sistem hibrid ringkasnya. Tempat duduk belakang jenis 60:40 juga boleh diangkat untuk membawa barangan tinggi, sama seperti konsep Ultra Seats pada Honda City Hatchback dan HR-V. Corong pendingin hawa belakang turut disediakan sebagai ciri standard.
Dari segi kelengkapan, kedua-dua model menerima pelarasan stereng tilt dan teleskopik, tempat duduk pemandu larasan elektrik 10 hala serta kemasan tempat duduk kulit tiruan. V9 bagaimanapun mendapat tambahan tempat duduk penumpang larasan elektrik empat hala, bumbung panoramik, cermin pandang belakang malap sendiri dan soket kuasa 220 volt di bahagian belakang.
Tunland V7 dilengkapi akses tanpa kunci, butang penghidup enjin, cruise control, pendingin hawa automatik, empat pembesar suara, sensor parkir belakang dan kamera undur. V9 pula menambah sistem pendingin hawa dua zon dengan penapis udara, kamera 360 darjah dengan fungsi transparent view, enam pembesar suara serta sensor parkir hadapan.
Aspek keselamatan menjadi antara perbezaan paling ketara antara kedua-dua model. V7 hanya dilengkapi dua beg udara bersama kawalan kestabilan dan hill descent control. Sebaliknya, V9 menawarkan enam beg udara serta pakej bantuan pemanduan termaju yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pemantauan tahap keletihan pemandu dan lampu tinggi automatik.
Foton akan membawa masuk Tunland V7 dan V9 sebagai unit import penuh (CBU) terlebih dahulu menerusi program peralihan CKD yang ditetapkan MITI sebelum pemasangan tempatan dimulakan di Johor pada suku keempat tahun ini. Foton turut merancang untuk memperkenalkan varian plug-in hybrid bagi kedua-dua model pada tahun hadapan.
GALERI: Foton Tunland V7 di MCVE 2026
GALERI: Foton Tunland V9 di MCVE 2026
The post Foton Tunland V7, V9 dilancar di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas gaya seperti Ford/Ram, dari RM122k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.























































































































































