Stesen Keretapi Segambut Utara telah pun dilancarkan secara rasminya hari ini oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang diiiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Telah pun memulakan operasinya sejak 11 Mei lalu, stesen keretapi yang dibina dengan kos lebih RM39 juta ini dibangunkan bagi memperkukuh ketersambungan rangkaian pengangkutan awam serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.
Stesen yang terletak di antara Stesen Kepong dan Stesen Segambut ini dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik dan pengurus aset rel negara, anak syarikat milik penuh kepada UOA Development Berhad iaitu IDP Industrial Development Sdn. Bhd selaku pemaju projek United Point Residence (yang terletak bersebelahan Stesen Keretapi Segambut Utara) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai pengendali operasi perkhidmatan rel.
Menurut KTMB, projek ini mencerminkan keberkesanan model kerjasama awam-swasta dalam pembangunan infrastruktur rel negara dengan RAC memainkan peranan utama dalam memastikan pematuhan terhadap piawaian teknikal dan keselamatan, di samping menjamin integrasi menyeluruh dengan sistem rel sedia ada bagi menyokong kelancaran operasi jangka panjang.
Stesen baharu ini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Stesen Sentral Kuala Lumpur, dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk sekitar Segambut dengan menyediakan pilihan perjalanan harian yang lebih mudah, selesa dan efisien.
Pembukaan stesen ini turut menjadi nilai tambah strategik kepada rangkaian KTM Komuter bagi laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan antara kawasan kediaman, pusat komersil dan hab pengangkutan utama di Lembah Klang termasuk Stesen Putra dan Stesen Bank Negara. Stesen ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden yang menitikberatkan aspek keselesaan, kebolehcapaian dan keselamatan pengguna.

Dari aspek ketersambungan, stesen ini turut menyediakan akses terus ke rangkaian jalan utama serta integrasi dengan perkhidmatan bas dan teksi, sekali gus memudahkan akses kepada penduduk sekitar Segambut, Kepong, Mont Kiara dan Jinjang. Bagi mengukuhkan lagi ketersambungan perjalanan First-and-last-mile, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanjangkan perkhidmatan Bas GoKL 13 (MRT Jinjang-MATRADE) sedia ada ke Stesen Segambut Utara, berkuatkuasa 1 Jun 2026.
Malah dalam acara pelancaran ini juga, Loke turut mengumumkan pemberian kemudahan parkir percuma selama tiga bulan di stesen ini. Inisiatif ini dijangka dapat mengoptimumkan penggunaan fasiliti parkir sedia ada serta meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan rel di kawasan sekitar.
Menurut KTMB, pemanjangan jajaran sepanjang 500 meter di Jalan Udang Gantung ini akan beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 11 malam, menyediakan ketersambungan yang lancar bagi penumpang yang menggunakan stesen baru ini. Dengan kapasiti sehingga 8,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak, stesen ini diunjurkan mampu mengendalikan sekitar 580,000 penumpang setahun.

Sepanjang tahun 2025, laluan KTM Komuter Tanjung Malim – Pelabuhan Klang telah merekodkan seramai 4.3 juta penumpang. Pembukaan Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka menyumbang kepada peningkatan jumlah pengguna sehingga 2% dalam tempoh enam bulan pertama pengoperasiannya.
The post Stesen Keretapi Segambut Utara dilancarkan – parkir percuma 3 bulan; sasar 580,000 penumpang setahun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.























