BYD Malaysia dan Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi bilik pameran flagship yang pertama, BYD Mansion Macalister yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang. Ini merupakan bilik pameran ketiga BYD di Pulau Mutiara, dan yang ke-41 di seluruh negara.
BYD Mansion Macalister memanfaatkan serta memberikan nyawa baru kepada sebuah premis rumah kediaman lama yang mempunyai sejarah dan warisan panjang Peranakan lebih 100-tahun, yang diubahsuai untuk memaparkan kesungguhan dan imej premium yang ingin di bawah oleh jenama itu di sini.
Melibatkan kawasan seluas 26,994 kaki persegi dengan ruang bangunan dua tingkat berkeluasan 9,000 kaki persegi, bilik pameran berkenaan antara lain terdiri daripada ruang servis yang mampu menampung lapan kenderaan dalam satu masa, ruang serahan kenderaan untuk pelanggan, ruang menyambut tetamu serta ruang pameran kenderaan di lantai bawah. Di atas pula terletak sebuah ruang menunggu dengan hidangan ringan yang nyaman. Di luar, satu pengecas pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC oleh operator DC Handal.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, dan turut disaksikan oleh ahli Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang, YB H’ng Mooi Lye.
“Komitmen kami kepada Malaysia mencerminkan wawasan global BYD untuk menjadikan pengangkutan lestari mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat. Kami terus menyalurkan inovasi teknologi dan keupayaan penyelidikan ke dalam pasaran kerana kami yakin dengan masa depan mobiliti tenaga baru di Malaysia.
“Pelaburan berterusan kami untuk meningkatkan kemahiran dan bakat tempatan dalam teknologi EV untuk masa depan turut dicerminkan dengan kesungguhan untuk menunaikan janji jangka panjang kami kepada negara ini. BYD Mansion Macalister adalah satu daripada komitmen tersebut, yang menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan memberi penghormatan kepada warisan tempatan,” jelas Naib Presiden BYD Co., Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang.
Dalam kesempatan yang sama, Liu juga menegaskan komitmen BYD untuk terus berada dan memperkukuh kedudukannya di Malaysia susulan daripada perubahan dasar terbaru melibatkan EV import sepenuhnya seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada awal Mei.
The post BYD Mansion Macalister dilancarkan secara rasmi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























