Penghujung April lalu, satu dokumen rasmi MITI yang menggariskan peraturan baru berkaitan EV CBU di Malaysia telah diedarkan kepada pemegang-pemegang francais AP, dan telah juga dilihat dan diambil perhatian oleh paultan.org.

Secara ringkas, isi dokumen dan peraturan baru tersebut menyatakan: bermula 1 Julai 2026, EV yang diimport dan dibawa masuk ke Malaysia perlu mempunyai nilai CIF (Cost, Insurance and Freight) tidak kurang daripada RM200,000, dengan output minimum yang dijana adalah 180 kW (245 PS atau 241 hp).

Ini menggantikan peraturan terakhir yang dikenakan sebelum ini — iaitu dengan harga lantai berjumlah RM250,000 dan ouput 200 kW (272 PS atau 268 hp).

Sekali pandang, ia seperti melibatkan pengurangan harga minimum tersebut. Tetapi, perhatikan istilah “harga lantai” dan “nilai CIF” yang digunakan: peralihan ini membawa perbezaan yang sangat ketara. CIF merujuk kepada nilai sebenar sesebuah kenderaan ketika ia tiba di pelabuhan di Malaysia, sebelum dikenakan sebarang cukai/duti tempatan dan sebelum mengambil kira keuntungan pengimport dan pengedar.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Secara umum, sebuah kenderaan dengan nilai CIF minimum RM200,000 akan dikenakan minimum 5% duti import + 10% duti eksais + 10% cukai jualan — menjadikan kosnya naik kepada RM250k. Ambil kira juga secara kasar 10% keuntungan untuk pengimport/prinsipal dan 10% lagi keuntungan untuk pengedar (yang biasanya akan lebih tinggi). Ini akan menjadikan harga lantai minimum sebuah EV di bilik pameran melonjak kepada RM300,000.

Fahami juga bahawa yang dinyatakan ini hanyalah kadar duti import yang dikenakan untuk EV yang diimport dari China. Sekiranya, sebagai contoh EV berkenaan diimport dari Eropah atau Korea Selatan, duti importnya akan naik dari hanya 5% kepada 30% penuh, sekali gus menjadikan harga lantai minimum kepada RM360,000.

Untuk output kuasa minimum pula, angka 180 kW (245 PS atau 241 hp) akan menghadkan lagi kemasukan EV yang bersaiz lebih kecil, dengan kuasa yang juga lebih rendah ke dalam pasaran tempatan selepas ini, selain menjadikan harga lantai jualannya lebih tinggi.

Mengapa MITI mengambil langkah sebegini? Tujuannya tentulah untuk menggalakkan lagi aktiviti CKD dalam kalangan pemain dan pengeluar EV di Malaysia. Dan, sudah tentulah juga untuk melindungi pemain dan pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua. Namun, oleh kerana EV Perodua sangat perlahan penerimaannya dalam pasaran, langkah ini boleh saja dilihat ditujukan untuk melindungi EV keluaran Proton eMas, yang ironinya, ada Geely di belakangnya.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Asal-usul situasi

Untuk faham apa sebenarnya yang berlaku ini, kita perlu lihat semula sejarah dan garis masa berkaitan insentif EV di Malaysia, serta peraturan yang pernah dikenakan. Pengecualian duti import dan eksais ke atas EV import pertama kali diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2022 oleh Menteri MITI ketika itu, Tengku Zafrul dan mula dilaksanakan dari 1 Januari 2022. Ketika itu, ada harga lantai yang ditetapkan ke atas semua EV CBU, iaitu RM100,000.

Asalnya, tempoh pengecualian cukai EV tersebut adalah sehingga penghujung 2023 sahaja, dan selepas itu hanya EV CKD yang akan menikmati pengecualian cukai yang ada. Bagaimanapun, kerajaan telah beberapa kali melanjutkan tempoh pengecualian cukai berkenaan, sebelum tiba pada tarihk muktamadnya pada 31 Disember 2025.

Setakat tempoh berkenaan, pada awalnya adalah difahamkan bahawa, walaupun cukai dan duti akan dikenakan selepas itu, harga lantai RM100,000 untuk EV CBU masih akan kekal sama dan diteruskan. Tetapi, pada hari terakhir tahun lalu, 31 Disember 2025, satu dokumen rasmi MITI telah mendedahkan yang MITI telah menetapkan peraturan baru untuk mana-mana EV CBU yang ingin dibawa masuk ke Malaysia, berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Dalam dokumen berkenaan, ada disebut tentang output kuasa minimum sebanyak 200 kW (272 PS atau 269 hp), dan harga atas jalannya tidak boleh kurang daripada RM250,000. Ketika itu, dikatakan bahawa semua ini hanya terpakai untuk jenama baru yang ingin di bawa masuk ke sini, dan yang belum pernah menerima francais AP di Malaysia. Maka, sebagai contoh, mana-mana model CBU oleh BYD misalnya yang walaupun akan dikenakan cukai dan duti, harga lantai minimumnya masih kekal RM100k dan bukannya RM250k, kerana syarikat itu adalah pemegang francais AP sedia ada sepanjang tempoh tersebut.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Kemudian, tiga minggu selepas itu, pada 21 Januari 2026, MITI mengeluarkan satu lagi dokumen yang dikemaskini yang menyatakan harga lantai RM250k itu kini terkapai kepada mana-mana jenama ATAU model baru yang ingin dibawa masuk oleh pemegang francais AP sedia ada.

Dengan itu — sekali lagi dengan menjadikan BYD sebagai contoh — sebuah model yang sudah dijual di sini seperti Atto 3 akan kekal dengan harga lantai RM100k, tetapi mana-mana model baru lain BYD yang ingin diperkenalkan di Malaysia, seperti Sealion 8, akan dikenakan harga lantai RM250k. Atto 1 pula tidak akan dibenarkan untuk dijual di sini kerana tidak memenuhi kriteria output kuasa minimum EV CBU.

Dengan kemaskini terbaru bertarikh 29 April 2026 pula, yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2026, MITI sekali lagi mengubah peraturannya. Tak hanya dengan mengubah keperluan terhadap nilai CIF minimum dan juga angka output, peraturan itu kini dikenakan secara menyeluruh ke atas SEMUA EV di Malaysia, tak kira untuk model baru yang bakal masuk atau untuk model lama sedia ada dalam pasaran ketika ini.

Ini menjadikan model lama sedia ada pun terpaksa mematuhi peraturan baru ini. Lagi sebagai contoh: BYD Sealion 7 yang telah dijual di Malaysia sejak 2024 tiba-tiba akan melonjak harganya daripada RM184k kepada minumum RM300k (seperti dalam anggaran yang dinyatakan di atas, berdasarkan nilai minimum CIF RM200k).

Selain itu, sebahagian besar barisan model BYD di Malaysia tidak lagi menepati syarat jualan di sini kerana tidak mencapai jumlah output kuasa minimum — ini termasuklah model Atto 2, Atto 3, Seal 6 dan M6. Hal yang sama juga terpakai untuk model seperti MG4, GWM Ora Good Cat, Chery E5, iCaur 03/V23, MINI Cooper/Aceman SE, Honda e:N1 dan bahkan model-model EV Toyota yang baru dilancarkan — Urban Cruiser, bZ4X dan Hilux BEV.

Untuk model yang mempunyai output kuasa yang melebihi penetapan terbaru ini, seperti BYD Seal, Zeekr X/7X, Xpeng G6, smart #1/#3/#5 dan GWM Ora 07, harga jualannya akan berlipat kali ganda dalam sekelip mata.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Apa kesan semua ini terhadap pasaran?

Sangat jelas, perubahan polisi yang mengejut ini akan memberi kesan yang besar kepada industri. Ia akan menghapuskan pilihan pengguna terhadap mana-mana EV di bawah RM300k, melainkan hanya segelintir model yang sudah menjalani pemasangan tempatan.

Sebagai contoh, daripada 20 EV paling laris pada bulan Mac 2026, hanya lima model yang tidak akan terkesan: Proton eMas 5, eMas 7 (CKD), TQ Wuling Bingo (CKD), Volvo EX30 (CKD) dan Zeekr 009 (yang memang dijual dengan harga lebih RM300k).

Dalam keadaan ini, Proton eMas 5 akan menerima manfaat berganda: pertama dalam bentuk program menuju pemasangan CKD yang lumayan (yang tidak pernah didedahkan had jumlahnya), yang membolehkan Proton untuk menjual kenderaannya di bawah RM100k walaupun masih diimport sepenuhnya dari China. Kedua, syarikat itu tidak tertakluk kepada peraturan output minimum EV CBU dan nilai CIF sama sekali — kerana sudah menjalankan CKD.

Hampir semua model lain dalam julat harga jualan antara RM100k hingga RM300k ketika ini tidak lagi akan memenuhi syarat tersebut (sekiranya tidak menepati output kuasa minimum), atau harga jualannya akan menjadi berlipat ganda.

Dengan syarat output 180 kW MITI ini, model-model EV dalam segmen C seperti BYD Atto 3, iCaur 03, Leapmotor B10, MG S5 dan Nissan Leaf akan gagal untuk menepati keperluan terhadap output kuasa minimum tersebut, dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia bermula 1 Julai 2026 ini. Melainkan, harganya akan jadi berlipat ganda lebih mahal.

Menariknya, semua model yang disebutkan ini juga merupakan pesaing secara langsung bagi Proton eMas 7. Adakah ini satu kebetulan? Kerana, jika mengambil kira kesan daripada peraturan baru ini, tiada lagi pesaing yang setara untuknya yang akan berada dalam pasaran tempatan selepas ini.

Ini akan meninggalkan jurang yang sangat luas dalam pasaran EV tempatan, dengan hanya ada sangat sedikit pilihan bagi julat harga EV antara RM100k hingga RM300k. Model dalam satu segmen di atas itu pula, yang menepati syarat output kuasa minimum tersebut, seperti BYD Sealion 7, Zeekr 7X dan Xpeng G6 terpaksa dijual dengan harga lebih mahal daripada julat RM150k-RM200k ketika ini kepada lebih RM300k. Jadi, pembeli terpaksa membayar hingga tiga kali ganda lebih jika ingin menaik taraf segmen daripada Proton eMas 7 kepada BYD Sealion 7, misalnya.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Sudah tentu, semua pengeluar boleh menghindari syarat EV CBU ini dengan cara mewujudkan program pemasangan CKD di Malaysia — yang mana banyak diantaranya sudah menyatakan hasrat mereka untuk berbuat demikian, dengan ada beberapa yang akan memulakannya dalam masa terdekat.

Dalam keadaan ini, masa akan menjadi satu faktor yang sangat penting. Sebesar mana jurang antara tarikh 1 Julai dengan kesediaan pengeluar untuk memulakan program CKD mereka akan menjadi penentu kepada daya saing mereka selepas ini. Ini kerana, tempoh kurang dua bulan yang tersisa kini adalah sangat singkat untuk syarikat membuat sebarang perancangan.

Sekiranya dasar MITI ini jelas sejak dari awal, jenama pengeluar mungkin sudah mempunyai operasi CKD yang sudah berjalan ketika ini. Tempoh dua bulan adalah terlalu singkat untuk pengeluar merencana jalan ke depan bagi jenama mereka di sini.

Jelas juga, yang menerima kesan paling ketara dalam hal ini ialah BYD. Perancangan pembinaan kilang pemasangan syarikat itu yang diumumkan di Tanjung Malim sebelum ini berdepan masalah sebulan lalu selepas MITI mengumumkan peraturan baru.

Dalam satu kenyataan panjang yang dikeluarkan untuk menjelaskan isu ini, MITI memaklumkan bahawa BYD (dan semua kilang CKD baru selepas September 2025) perlu mematuhi penetapan harga lantai RM100k, nisbah 80% eksport dan 20% domestik daripada keseluruhan pengeluaran, serta wajib mempunyai kemudahan mengecat di sini.

Kegagalan untuk memenuhi mana-mana ketetapan yang dinyatakan ini bermakna BYD tidak akan diberikan lesen pengilangan untuk menjalankan operasi CKD, walaupun syarat untuk mengeksport 80% daripada jumlah pengeluaran itu sangat tidak realistik, memandangkan BYD sudah mempunyai kilang khusus untuk CKD di Thailand dan Indonesia, yang merupakan pemain utama pasaran EV di ASEAN. 80% eksport ini dibayangkan untuk dijual ke pasaran mana, sebenarnya?

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Pemasangan CKD untuk elak peraturan baru EV CBU

Kenapa jenama lain dibenarkan untuk memasang EV mereka di sini tanpa berdepan masalah dengan peraturan baru tersebut? Itu adalah dengan cara mereka memanfaatkan atau memberikan kontrak pemasangan kepada kemudahan pemasangan tempatan sedia ada, dengan lesen pengilangan mereka sendiri.

MG sebelum ini telah umumkan bahawa syarikat itu akan mengeluarkan model S5 mereka di kilang EPMB di Pegoh, Melaka. Begitu juga dengan Xpeng yang telah merancang untuk pengeluaran model G6 CKD dari kemudahan pemasangan yang sama. Wuling Bingo pula akan dipasang di kilang Tan Chong di Segambut, sementara Chery kini dipasang di kilang Inokom di Kulim, dan ada juga kilang di Shah Alam serta sedang membina satu lagi kilang utama di Lembah Beringin. Leapmotor pula akan di pasang di kilang milik Stellantis di Gurun, yang dibeli daripada Naza pada 2021.

Zeekr juga sebelum ini telah umumkan akan buka kilang pemasangan sendiri di Tanjung Malim, dengan model 7X CKD dijangka dikeluarkan paling awal pada 2027. Sama ada jenama ini perlu mematuhi syarat yang sama seperti BYD, atau adakah ia akan dibenarkan untuk beroperasi di bawah kerangka yang sama seperti Geely-Proton, kita akan lihat nanti.

Satu lagi jenama yang tidak jelas masa depannya di Malaysia ialah Tesla. Tanpa sebarang perancangan CKD, adakah ia akan memilih jalan untuk menaikkan harga kenderaannya di atas RM300k dan kekal dalam pasaran sini? Atau adakah skim BEV Global Leaders yang dinikmati syarikat itu membenarkan keistimewaan lain untuk membolehkannya meneruskan penawaran sedia ada selepas 1 Julai nanti?

Sudah tentulah Tesla memang sudah menikmati keistimewaan yang khusus dan banyak sejak awal kehadirannya di sini, termasuk menjadi satu-satunya syarikat pengeluar kenderaan yang diberikan francais AP tanpa perlu ada rakan niaga bumiputra.

Selain harga, satu lagi kesan penting daripada peraturan baru ini adalah pelancaran model-model baru selepas ini akan tertunda, kerana jenama yang ada perlu memperkenalkannya terus sebagai unit CKD. Untuk membawa masuk model CBU bukan lagi satu pilihan kerana harga lantai yang terlalu tinggi.

Kesan terakhir yang tak kalah penting: mungkinkah peraturan baru MITI ini akan menyebabkan ada jenama pengeluar yang terpaksa meninggalkan pasaran Malaysia? Dasar yang tidak tetap dan kerap berubah-ubah bukan hal baru, dan ini menyusahkan pengeluar untuk membuat perancangan. Dan, hanya ada dua bulan notis untuk memenuhi peraturan baru ini? Ia nampak sangat mustahil untuk kebanyakan jenama.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Siapa yang dapat manfaat?

  • Proton jelas menjadi pihak yang mendapat paling banyak manfaat daripada peraturan baru ini. Pesaing eMas 7 akan lenyap sekelip mata. Dengan ketidakpastian CKD oleh BYD, Proton akan menjadi satu-satunya pemain dalam pasaran EV.
  • Perodua juga diuntungkan, kerana kurang pesaing untuk didepani. Tetapi ini juga tidak akan banyak membantu model EV-nya, QV-E untuk diterima secara meluas — kerana masih ada model-model Proton sebagai pilihan utama.
  • Jenama EV premium juga mendapat manfaat. Dengan harga lantai RM300k, pemain sedia ada yang sudah bermain dalam segmen tersebut akan mempunyai kelebihan memandangkan jurang harga menjadi makin rapat dengan EV keluaran mereka.

MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton

Siapa yang rugi?

  • BYD akan mengalami kerugian paling besar. Semua barisan model sedia adanya sama ada tidak menepati syarat atau perlu dinaikkan harga yang mahal berbanding pesaing lain.
  • Tesla juga dalam kerugian. Tanpa perancangan untuk CKD, seluruh barisan modelnya berdepan kenaikan harga yang ketara, melainkan mereka diberikan kelebihan istimewa.
  • Zeekr juga berdepan jalan mencabar sehinggalah rancangan CKD syarikat itu bermula. Keadaan ini akan menyukarkan mereka untuk bersaing. Permintaan baik ke atas model 7X akan terganggu.
  • Toyota bakal menyaksikan semua tiga model EV yang baru dilancarkan “lenyap” dari pasaran.
  • Pembeli EV di Malaysia juga akan rugi. Proton akan mendominasi pasaran, kurang pesaingan dan kurang juga pilihan bagi model-model yang berharga antara RM100k-RM300k untuk pembeli. Tiada lagi keperluan untuk pengeluar melancarkan perang harga yang menguntungkan pembeli.

Langkah kerajaan untuk melindungi industri dan pemain tempatan memang wajar dan boleh difahami. Tetapi dalam perkembangan terbaru ini, pihak yang diberi perlindungan sebenarnya ialah Geely yang menerima manfaat terbesar di belakang Proton eMas. Sepertinya pertembungan dua gergasi automotif China, Geely dan BYD, kini telah meletakkan Malaysia sebagai gelanggang yang tidak diuntungkan. Bagaimana jalan ke depan nanti?

The post MITI umum peraturan baru EV CBU, mula 1 Julai — harga RM300k, jana 245 PS; galak CKD, lindung Proton appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts