Kementerian Pengangkutan (MOT) dan KTMB telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 30% bagi pembelian tiket ETS untuk semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral.
Menurut KTMB, bagi pengguna yang hendak mendapatkan diskaun istimewa ini, perlulah menggunakan kod promo Madani30 dan tempoh pembelian tiket adalah bermula jam 12 tengahari esok (15 April 2026) hingga 30 April ini, untuk tempoh perjalanan antara 15 April hingga 14 Oktober 2026.
“Inisiatif ini adalah bagi perjalanan pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Madani melalui MOT dan KTMB untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat.

“Pemberian diskaun ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan kos perjalanan, meningkatkan mobiliti rakyat serta menyokong agenda pengangkutan awam negara yangb lebih mampan dan inklusif,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Walau bagaimana pun, KTMB berkata, promosi ini tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum. Selain itu, diskaun ini juga tidak terpakai bagi tiket Kelas Perniagaan tren ETS, Kelas 1 dan Kelas Tempat Tidur bagi perkhidmatan ERT dan pemegang tiket konsesi.
Sehubungan itu, orang ramai disaran untuk merancang perjalanan lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk dan memanfaatkan penjimatan yang ditawarkan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ktmb.com.my atau ikuti saluran media sosial rasmi KTMB.
The post KTMB tawar diskaun 30% untuk tiket ETS dan ERT antara 15-30 April, perjalanan hingga 14 Okt 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















