Satu jenama baru dari China, yang mengejutkan dunia apabila menang dalam kategori SSP World Superbike Championship (WSBK) di Portugal Mac lalu iaitu ZXMoto bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd kini dilantik sebagai pengedar eksklusifnya.
Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, MForce diberitahu sudah memulakan kerjasama dengan ZXMoto sejak Oktober 2025, apabila pengasasnya, Zhang Xue datang sendiri ke Pulau Pinang untuk melawat kilang MForce dan perjanjian pengedaran dipersetujui tidak lama selepas itu.
Tiga model ZXMoto juga kini sudah berada di Malaysia untuk ujian ketahanan dan jika semuanya berjalan lancar, barulah akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Mereka yang berminat dengan jenama ini boleh menyaksikan depan mata motosikal ZXMoto serta berjumpan dengan Xue semasa Malaysia Bike Show 29 Mei ini.
Xue yang sebelum ini merupakan pengasas Kove Moto menubuhkan pula ZXMoto pada tahun 2024 selepas keluar daripada Kove dan satu tahun kemudian memperkenalkan model pertama ZXMoto iaitu 500RR. Model yang digunakan dalam perlumbaan SSP adalah 820RR-RS, yang mana asasnya adalah sama dengan versi produksi yang boleh dibeli pada harga 43,800 yuan (RM25k) oleh orang awam China.
The post MForce dilantik sebagai pengedar ZXMoto di Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















