Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang ditambah baik berkuat kuasa hari ini (27 April 2026) bagi jadual waktu hari bekerja, serta pada 1 Mei 2026 (Jumaat ini) bagi jadual waktu cuti umum dan hujung minggu, melibatkan laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang.
Menurut KTMB, penambahbaikan ini dilaksanakan susulan penilaian semula terhadap pelaksanaan jadual baharu yang diperkenalkan pada 18 April lalu, sejajar dengan kerja-kerja projek naik taraf Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). “Sepanjang tempoh tersebut, KTMB telah meneliti secara menyeluruh maklum balas serta cadangan yang dikemukakan oleh para penumpang melalui pelbagai saluran rasmi, termasuk media sosial.
“Sehubungan dengan itu, jadual yang dikemaskini ini dirangka dengan mengambil kira pola perjalanan penumpang, khususnya pada waktu puncak, agar lebih praktikal dan mesra pengguna dalam membantu perancangan perjalanan harian mereka sepanjang tempoh pelaksanaan projek KVDT, yang melibatkan penutupan satu landasan di antara Seremban hingga Salak Selatan sepanjang 67KM bagi membolehkan kerja-kerja infrastruktur dilaksanakan dengan selamat dan efisien,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam masa yang sama, KTMB turut berkata, sepanjang tempoh tersebut, operasi tren di laluan terlibat dijalankan menggunakan satu landasan sahaja dan perlu dikongsi antara perkhidmatan Komuter dan ETS. “Keadaan ini menyebabkan beberapa pergerakan tren ETS turut dijadualkan melalui laluan tersebut pada waktu petang, berikutan penutupan penuh landasan pada waktu malam bagi kerja-kerja naik taraf dijalankan dari jam 9.30 malam hingga 5.30 pagi yang tidak membenarkan sebarang pergerakan tren berjadual.
“Justeru, penyelarasan operasi ini dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan kedua-dua perkhidmatan dapat dikekalkan secara selamat dan teratur sepanjang tempoh projek,” katanya lagi.
Untuk makluman, penambahbaikan ini hanya melibatkan pelarasan waktu operasi tren dengan mengekalkan lima perkhidmatan hari bekerja sedia ada pada waktu puncak, pagi dan petang.
Jadual terkini adalah seperti berikut:

“KTMB akan terus memantau pelaksanaan jadual ini dari semasa ke semasa bagi kemudahan para pengguna serta mengemaskini perkembangan kerja-kerja projek. KTMB menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan terkini melalui MyRailtime di aplikasi KITS Style. Penumpang juga digalakkan untuk mengikuti pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran media sosial rasmi KTMB.
“KTMB amat menghargai segala maklum balas, kesabaran dan sokongan berterusan para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja naik taraf ini dan kekal komited untuk terus menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200,” kata KTMB.
The post KTM Komuter Lembah Klang tambahbaik jadual mulai hari ini – 5 perkhidmatan waktu puncak hari bekerja appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















