Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa perkhidmatan KTM Komuter di Stesen Keretapi Segambut Utara mula beroperasi hari ini, 11 Mei 2026, sekali gus memperluas akses pengangkutan rel kepada komuniti sekitar Segambut dan kawasan berhampiran.

Menurut KTMB, Stesen Keretapi Segambut Utara merupakan stesen KTM Komuter yang ke-58 dan merupakan sebahagian daripada perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang. “Stesen ini menghubungkan penumpang ke destinasi utama serta stesen integrasi rel yang menawarkan sambungan kepada rangkaian rel lain termasuk MRT dan LRT seperti Sungai Buloh, Kepong Sentral, Abdullah Hukum dan Subang Jaya.

“Selain itu, penumpang dari Stesen Segambut Utara juga boleh meneruskan perjalanan ke laluan sektor Batu Caves – Pulau Sebang dengan membuat pertukaran tren di stesen integrasi seperti Stesen Kuala Lumpur dan KL Sentral. Kedudukannya yang strategik turut menyediakan akses terus kepada pembangunan komersial dan kediaman seperti United Point, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan kediaman, pusat aktiviti ekonomi dan rangkaian pengangkutan awam,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka memberi manfaat kepada lebih 250,000 penduduk sekitar Segambut, khususnya komuniti di kawasan Segambut Utara, Jalan Ipoh, Kepong dan kawasan berhampiran. Kehadiran stesen ini turut menyokong keperluan mobiliti harian di kawasan berpenduduk padat serta menggalakkan peralihan kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan mampan.

KTM Komuter di Segambut Utara mula beroperasi

Dalam masa yang sama, KTMB turut mengumumkan kemudahan tambang konsesi sebanyak 50% kepada golongan pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Selain itu, program khas MyRailLife turut diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada empat kategori penumpang iaitu kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah (7 hingga 17 tahun), pelajar Tingkatan Enam serta Orang Kurang Upaya (OKU).

KTMB berkata, melalui inisiatif ini, penumpang yang layak boleh menikmati pas perjalanan percuma tanpa had bagi memudahkan mobiliti harian serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel sebagai mod pengangkutan utama.

Para pengguna perkhidmatan KTM Komuter boleh membuat pembelian tiket di aplikasi KITS Style atau kios tiket di stesen-stesen KTMB serta boleh membuat pembayaran perjalanan menggunakan kad debit, kad kredit dan pembayaran digital e-dompet itu di pintu kawalan automatik.

Orang ramai boleh merancang perjalanan dengan merujuk jadual perkhidmatan KTM Komuter melalui laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau aplikasi KITS Style. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

The post KTM Komuter di Segambut Utara mula beroperasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts