Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah menyita sebanyak 41 kenderaan mewah yang culas memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta insurans sejak Januari lalu hingga 18 Mei 2026 menerusi Op Luxury, laporan Harian Metro.
Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata, berdasarkan statistik terkini sehingga 18 Mei lalu, sebanyak 11 buah kenderaan mewah masih berada dalam tahanan pihak berkuasa, manakala 30 lagi sudah dilepaskan selepas pemiliknya menyelesaikan tunggakan serta denda.
“Antara kesalahan yang paling popular untuk kenderaan mewah ini adalah LKM tamat tempoh dan tiada insurans. Malah, ada sesetengah penilaian cukai jalan mencecah RM10,000 yang didakwa tidak mampu dibayar oleh pemilik kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang media di JPJ KL, hari ini.
Antara model kenderaan mewah yang tersenarai dalam dokumen sitaan termasuklah Ford Mustang, Bentley Continental Flying Spur, Rolls-Royce Ghost, Porsche Cayman, Aston Martin V8 Vantage, Audi Q3, Land Rover Defender dan Toyota Alphard.
Hamidi turut berkata penguatkuasaan yang dijalankan adalah telus tanpa mengira profil atau latar belakang pemilik, termasuk melibatkan golongan berpengaruh dan selebriti tempatan.
“Kira-kira dua minggu lalu, ada seorang selebriti atau artis turut ditahan kerana tidak membayar cukai jalan bagi kenderaan jenis Bentley miliknya. Bagaimanapun, dia terus membuat bayaran dan kenderaan itu sudah pun dikeluarkan. Memang fokus kita adalah untuk membersihkan kawasan kompaun sitaan secepat mungkin. Kita tidak mahu simpan kenderaan ini lama-lama kerana kawasan kita boleh penuh,” katanya.
Tambahnya, JPJ memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik kenderaan, khususnya kenderaan mewah, agar tidak memandang remeh aspek pematuhan undang-undang jalan raya. “Ini adalah amaran dan peringatan. JPJ tidak akan leka dan operasi ini bukannya bermusim. Kami akan meneruskan operasi ini secara konsisten dan berterusan,” katanya.
The post JPJ KL sita 41 kereta mewah culas baharui cukai jalan dan insurans antara Januari hingga 18 Mei 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















