SUV mewah off-road dengan casis ladder frame dari divisi mewah BYD iaitu Denza B8 sudahpun dijadualkan untuk dilancarkan pada hari Khamis ini 21 Mei 2026. Namun sebelum kain penutup dibuka yang menandakan ia rasmi masuk ke pasaran Malaysia, SUV berkenaan terlebih dahulu kelihatan tanpa sebarang selindung di bawa dengan trak pengangkut.
Imej yang kami terima ini dihantar oleh seorang pembaca paultan.org, Remy Chan namun tidak dinyatakan di mana foto ini sebenarnya di ambil. Denza Malaysia sudah pun membuka pendaftaran minat bagi model ini bulan lalu, dan selepas dilancarkan nanti ia akan dipamerkan di Bangsar Shopping Centre dari 22 hingga 24 Mei.
Di China, Denza B8 ini dijual dengan lencana Fangchengbao dan dikenali sebagai Bao 8. Seperti yang disbeut tadi ia adalah SUV lasak sebenar yang dibina berasaskan casis ladder frame dan dilengkapi sistem 4X4 serta digerakkan dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) berkuasa tinggi Dual-Mode Off-road (DMO).
Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik, iaitu satu untuk memacu roda hadapan berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork 360 Nm, dan satu lagi memacu roda belakang berkuasa 408 PS (300 kW) dan tork 400 Nm. Ia turut dibekalkan dengan enjin khas hibrid 2.0 liter empat silinder petrol turbo berkuasa 197 PS (145 kW) dan tork maksima 350 Nm.
Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa PHEV DMO ini menghasilkan kuasa 578 PS (425 kW) tork maksima 760 Nm, membolehkan SUV gergasi dengan panjang 5,195 mm dan berat 3,290 kg ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat.
Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP Blade 36.8 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Dan dengan tangki petrol gergasi 91 liter SUV ini didakwa boleh bergerak sejauh 905 km.
Seperti EV sebenar, bateri SUV PHEV ini mampu menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, dan pengecas AC biasa sehingga 11 kW. Ia juga boleh bertindak seperti power bank gergasi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 6.6 kW.
Di China, pelanggan boleh membeli Denza D8 ini dengan pengunci differential pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan cengkaman pada laluan off-road yang lebih baik. Ia juga datang dengan sistem suspensi hidraulik BYD DiSus yang membolehkan ketinggiannya dianjak 140 mm. Ini membolehkan ia meredah air pada kedalaman sehingga 890 mm berbanding 800 mm pada keadaan standard, serta menaikkan sudut approach dan berlepas masing-masing sehingga 34 dan 35 darjah.
Seperti pasaran global yang lain, model pasaran Malaysia ini nampaknya diberikan rim aloi 20-inci jejari-Y berwarna hitam yang sedikit kecil berbanding Fangchengbao B8 di China yang diberikan set rim berdiameter 21-inci.
Pada bahagian dalaman pula Denza B8 ini menerima upholsteri sama ada Jasper Brown atau Onyx Black. Pemandu menerima skrin gergasi 12.3-inci untuk paparan instrumen digital, serta dibantu lagi dengan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Manakala pada konsol tengah skrin lebih besar bersaiz 17.3-inci diberikan untuk sistem infotainmen.
Manakala pada konsol terowong, ia diberikan tombol gear yang dinaikkan selepas enjin dihidupkan, dan juga pelbagai suis fizikal seakan kristal untuk kawalan pelbagai fungsi unit rangkaian kuasanya. Perincian lain yang turut diberikan termasuk pengecas tanpa wayar Qi berkembar 50 watt, ruang storan pada perehat tangan dengan fungsi penyejuk dan pemanas, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi pemanas, penaglir udara dan pengurut, serta sistem bunyi Devialet dengan 18-pembesar suara yang diberikan secara standard.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, B8 bakal ditawarkan dalam varian standard dan Premium. Jadi ia mungkin merujuk kepada varian dengan tujuh-tempat duduk dan juga enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana ia diberikan tempat duduk kapten pada baris kedua yang memberikan fungsi ottoman dan pengurut, dan juga upholsteri kulit Nappa.
Manakala varian tujuh-tempat duduk menerima kerusi baris kedua dengan fungsi larasan kuasa, pemanas dan pengalir udara. Ia turut diberikan suis pelbagai fungsi pada pintu belakang bagi membolehkan penumpang membuka atau menutup cermin tingkap bertentangan dan juga pelindung matahari pada bumbung suria, serta terdapat butang satu sentuhan untuk membaringkan atau menolak tempat duduk baris kedua ke hadapan bagi memberikan ruang kaki lebih luas.
But belakang SUV ini cuma menawarkan ruang kargo sebesar 147 liter. Namun tempat duduk baris kedua dan ketiganya boleh dilipat dengan mudah dengan bantuan kuasa, memberikan ruang sehingga 920 liter (902 liter untuk model enam-tempat duduk).
Tiada fungsi pintu tailgate bantuan kuasa kerana ia dibuka dari sisi seperti pintu biasa, tetapi datang dengan fungsi larasan ketinggian dari but belakang yang membolehkan anda merendahkan bahagian belakang, bagi membantu untuk memasukkan barang yang berat atau besar pada bahagian tersebut.
Dengan kelengkapan yang diberikan ini, kami jangkakan Denza B8 ini akan dijual pada harga melebihi RM300k. Ini kerana spesifikasi yang ditawarkan melebihi satu lagi model senegaranya iaitu GWM Tank 500 yang kini dijual pada harga RM328,800.
The post Denza B8 dijumpai di Malaysia – SUV PHEV 4×4 ladder frame mewah, 578 PS/760 Nm, akan dilancar 21 Mei ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































