Selepas khabar angin yang bertiup sebelum ini, akhirnya disahkah bahawa model Jaecoo J5 EV bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi. Perkara itu adalah berdasarkan satu iklan teaser yang dikongsikan melalui laman media sosial rasmi Omoda & Jaecoo Malaysia.
Telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia dan Thailand tahun lalu, versi bateri-elektrik bagi Jaecoo J5 ini ditawarkan di sana dengan kapasiti bateri 58.9 kWh, yang memberikan jarak 461 km mengikut kitaran NEDC (400 km WLTP).
Di Indonesia, J5 EV menyokong pengecasan DC sehingga 130 kW, dan mampu mencapai tahap pengecasan 30%-80% dalam 28 minit. Turut disertakan ialah fungsi V2L dengan kadar 3.3 kW bagi tujuan pengecasan peranti atau perkakas elektrik mudah alih. Membekalkan kuasa untuk J5 EV ialah sebuah motor yang dipasang di hadapan yang menghasilkan sebanyak 211 PS dan 288 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.7 saat, dengan laju maksimum 175 km/j.
Jaecoo J5 EV mempunyai ukuran dimensi 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Dari segi saiz, Jaecoo J5 EV setanding dengan saiz Honda HR-V, Proton X50 dan Chery Tiggo Cross yang ketika ini turut dijual di Malaysia.

Di bahagian dalam, Jaecoo J5 EV menyediakan ruang barangan di bawah hud depan seluas 35 liter, sementara ruangan barangan di dalam kabin pula boleh memuatkan 480 liter dengan semua kerusi ditegakkan, atau sehingga 1,284 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.
Untuk pasaran luar negara, Jaecoo J5 EV antara lain dilengkapi dengan ciri rim aloi 18-inci, bumbung panoramik berkilau dengan pelindung matahari larasan kuasa, pintu belakang juga larasan kuasa, balutan kerusi dengan kulit buatan, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan liang udara, sistem infotainmen dengan skrin sentuh bersaiz 13.2-inci, kluster instrumen digital lapan-inci, lapan-pembesar suara, lampu ambient 64 warna, enam-beg udara, pad pengecas tanpa wayar 50 watt dan fungsi telematik.
Untuk ciri keselamatan, Jaecoo J5 EV menerima sistem ADAS dengan 17-fungsi, termasuk AEB, bantuan mengekalkan lorong, pemantauan titik buta dan lain-lain. Di Indonesia, Jaecoo J5 EV dijual dengan harga dari 249.9 juta hingga 299.9 juta Rupiah (RM63k-75k), manakala di Thailand dengan berharga dari 549k baht (RM71k) hingga 679k (RM88k). Berapakah harga yang dijangka untuk pasaran Malaysia?
Jaecoo J5 EV di Thailand
The post Jaecoo J5 EV dalam <em>teaser</em> Malaysia — bakal dilancar? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































