Perodua antara jenama yang akan menyertai Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026, di mana acara tersebut akan berlangsung bermula 12 hingga 21 Jun ini. Dalam hantaran yang dibuat menerusi laman Facebook rasminya, Perodua membayangkan untuk KLIMS tahun ini ia bakal hadir mempamerkan teknologi yang akan ditawarkan kepada pengguna pada masa depan, khususnya dalam penerokaan teknologi terhubung dan lestari.
Dan yang paling menarik, grafik pada hantaran tersebut turut menampilkan bayangan sisi sebuah sedan pada bahagian atas. Seperti yang diketahui, Perodua hanya ada satu sahaja model sedan iaitu Bezza, dan model berkenaan kini sudahpun berada selama sedekad dalam pasaran tanpa digantikan dengan model generasi baharu. Jadi adakah model konsep bagi model generasi kedua Bezza akan muncul di KLIMS 2026?
Bagi model generasi pertama, Bezza merupakan versi sedan dari hatchback Axia, iaitu model yang dilahirkan kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya. Namun untuk Bezza, badan atasnya direka sendiri sepenuhnya oleh Perodua, dan sehingga kini ia tidak mempunyai kembar dengan lencana Toyota atau Daihatsu.
Axia generasi kedua telahpun dilancarkan pada Februari 2023, namun sehingga kini versi sedannya iaitu Bezza masih belum muncul lagi. Pada Disember tahun yang sama Perodua ada menyatakan bahawa Bezza generasi kedua hanya akan muncul beberapa tahun lagi, manakala pada Februari lalu CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sendiri mengesahkan bahawa Perodua Bezza akan kekal dalam spesifikasi sedia ada sehingga 2030, dan tiada model baharu akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Jadi tidak mustahil model konsep awal -setidak-tidaknya dalam bentuk skala lebih kecil- bagi sedan berkenaan mungkin akan muncul tahun ini.
Jika formula yang sama digunakan, Bezza generasi kedua kelak sudah tentu turut diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture sama seperti Axia. Buat masa sekarang Bezza ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0 liter NA dan juga 1.3 liter NA. Namun tidak mustahil bagi model generasi kedua nanti, varian asas Bezza akan menggunakan enjin 1.3 liter, manakala varian lebih tinggi dipadankan dengan enjin 1.5 liter, di mana kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear D-CVT.
Ini adalah kerana saingan utama Bezza di Malaysia iaitu Proton Saga MC3 ditawarkan dengan enjin 1.5 liter untuk semua varian, dan Perodua tidak mempunyai masalah untuk menawarkan unit rangkaian kuasa seperti yang disebut tadi kerana ia boleh dikongsi dengan Myvi yang telahpun menggunakan padanan enjin dan transmisi sedemikian.
Malah dengan platform DNGA ini juga Perodua tidak mempunyai masalah untuk menawarkan varian hibrid, kerana unit rangkaian kuasa tersebut sudahpun tersedia dan telah digunakan pada beberapa model platform DNGA seperti Vios HEV dan juga Toyota Yaris Cross HEV.
Perodua juga turut dijangka boleh menawarkan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada Bezza baharu ini kelak, kerana fungsi yang sama juga telah ditawarkan pada Axia generasi terkini. Jadi betul ke model konsep Bezza generasi kedua ini akan muncul di KLIMS 2026? Sama-samalah kita nantikan minggu depan.
The post Perodua siar bayangan sedan dalam grafik KLIMS 2026 – model konsep Bezza baharu akan didedahkan? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















