Jenama baru milik Chery, iaitu iCaur, yang dikenali dengan SUV elektrik berinspirasikan 4×4 retro, kini memperlihatkan hala tuju reka bentuk terbaru menerusi konsep Robox. Model konsep ini membuat kemunculan di pentas Auto China yang sedang berlangsung di Beijing.
Berbanding model sedia ada seperti 03 dan V23, Robox tampil dengan rekaan yang lebih lembut dan membulat. Pendekatan ini dikatakan memberi kelebihan dari segi aerodinamik, sekaligus membantu meningkatkan jarak pemanduan kenderaan elektrik.
Nama Robox merupakan gabungan perkataan “Robot” dan “Box”, manakala gaya tipografi yang digunakan jelas dipengaruhi oleh Cyberpunk 2077, termasuk elemen futuristik dengan paparan tahun 2026. Sentuhan rekaan dystopia ini turut diterjemahkan melalui pelbagai perincian seperti rak bumbung dengan lampu terbina, lampu tambahan pada pintu hadapan, lampu bulat ala “driving lamps”, kemasan warna emas matte, panel aerodinamik lutsinar pada rim 19 inci, serta grafik yang menyerupai label amaran.
Di sebalik semua elemen tersebut, Robox sebenarnya menampilkan rekaan badan jenis monobox yang lebih kemas. Ia hadir dengan bumbung hitam, tiang C menegak sama warna dengan badan, serta spoiler belakang aktif. Bahagian hadapan pula menampilkan rekaan seperti visor dengan kemasan hitam yang menggabungkan lampu utama segi empat dan lampu nyalaan siang dua jalur.
Bampar hadapan dan belakang yang tebal, bersama pelindung bawah dan lengkungan roda besar, masih mengekalkan identiti lasak yang sinonim dengan model iCaur. Menariknya, model ini tidak mempunyai cermin belakang, berkemungkinan digantikan dengan sistem paparan digital.
Untuk unit konsep yang dipamerkan, bahagian dalaman tidak didedah. Namun, Robox dilaporkan direka untuk menyokong pemanduan autonomous Tahap 3 dan Tahap 4 tanpa pengawasan, yang mungkin bermaksud ketiadaan stereng dan pedal. Pendekatan ini dilihat selari dengan konsep robotaksi seperti Tesla Cybercab yang turut menampilkan rekaan tanpa kawalan pemandu tradisional.
Dari sudut teknikal, Robox dibina di atas platform i-Swift 3.0 baru dengan seni bina elektrik 1,000 volt. Platform ini dikatakan mampu menyokong pengecasan pantas DC melebihi 1,000 kW, setanding dengan teknologi pengecasan pantas daripada BYD yang mencapai sehingga 1,500 kW. Selain itu, ia juga menyokong penggunaan bateri lithium konvensional dan bateri keadaan pepejal, walaupun angka jarak pemanduan masih belum diumumkan.
Konfigurasi trenkuasa yang disokong juga agak fleksibel, termasuk pilihan tiga atau empat motor elektrik. Robox dijangka menjadi asas kepada barisan model baru di bawah siri iCaur X pada masa akan datang. Dengan rekaan yang lebih aerodinamik dan futuristik ini, iCaur jelas cuba membawa pendekatan berbeza berbanding model 03 dan V23 yang lebih berkotak dan lasak.
The post iCaur Robox Concept – SUV monobox pemanduan autonomous Tahap 3/4, pengecasan DC 1,000 kW appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























