Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa untuk tempoh 16 hingga 22 April 2026, harga runcit bagi petrol RON97 diturunkan sebanyak 25 sen seliter, menjadi RM5.10 seliter.

Malah RON95 tanpa subsidi juga diturunkan sebanyak 25 sen seliter, menjadi RM4.02 seliter. Walau bagaimana pun, RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.

Untuk diesel untuk semenanjung Malaysia pula, ia diturunkan sebanyak 75 sen, menjadi RM5.97 seliter. Manakala diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

MoF berkata, penurunan harga runcit bahan api berkenaan adalah disebabkan penurunan harga minyak global. Walau bagaimana pun, memandangkan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan, kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai tambahan Budi Diesel kepada RM400 sebulan bagi April 2026 untuk 350,000 penerima Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan. Ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac 2026.

Secara keseluruhan, MoF berkata, kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa. Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan.

The post Harga minyak 16-22 April – RON95 tanpa subsidi dan RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts