Satu lagi model adventure daripada Voge dilancarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu DS800X Rally, di mana ia terletak di bawah model DS900X yang dilancarkan Februari lalu. Ia dijual pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu putih, kuning dan hitam.
Menggerakkan DS800X Rally adalah enjin dua silinder lapan injap penyejukan cecair DOHC 798 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 93.8 hp pada 9,000 rpm dan tork 81 Nm pada 6,500 rpm.
Begi menyesuaikannya dengan kegunaan, dua mod tunggangan disediakan, iaitu Eco dan Sport, sementara sistem elektronik lain yang disediakan adalah termasuk brek ABS dual-channel dan kawalan cengkaman yang boleh ditutup, serta pemerhati tekanan angin tayar.
Sesuai dengan karekter lasak yang dibawa, DS800X Rally datang dengan rim spoked 21 inci yang dibalut tayar Pirelli 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Ia masing-masing dipegang oleh suspensi Kayaba yang boleh dilaras sepenuhnya, dengan jarak gerak 200 mm di hadapan dan 190 mm di belakang.
Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera bersama angkup Nissin, yang menggunakan tetapan berkembar di hadapan dan tunggal di belakang. Tangki bahan api berkapasiti 24 liter, dan dalam keadaan biasa tanpa aksesori, DS800X Rally mencatat berat 213 kg.
Informasi penting motosikal dipaparkan melalui panel meter TFT bersaiz tujuh inci dan motosikal ini juga datang dengan pemanas tempat duduk dan pemegang, lampu kabus, perakam video hadapan serta perlindungan di bahagian bawah enjin, panel tepi serta pemegang.
Sama seperti DS900X, motosikal ini juga datang sekali dengan kotak barangan belakang dan tepi, soket pengecas USB A dan C, serta steering damper yang boleh dilaras.
The post Voge DS800X Rally dilancarkan di Malaysia – RM40k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.














































