BMW X3 30 xDrive M Sport kini rasmi diperkenalkan di Malaysia sebagai pelengkap kepada varian BMW X3 20 xDrive M Sport yang dilancarkan pada Jun tahun lalu. Varian baru ini hadir dengan peningkatan ketara dari segi prestasi menerusi enjin 2.0 liter turbo empat silinder petrol dengan sistem hibrid ringkas yang lebih berkuasa.
Dari segi harga, X3 30 xDrive M Sport ditawarkan pada RM358,800 atas jalan tanpa insurans. Pembeli juga boleh memilih pakej BMW Service & Repair Inclusive yang merangkumi servis dan jaminan selama lima tahun, menjadikan harga keseluruhan RM386,700.
Varian ini menghasilkan kuasa maksimum 258 PS dan tork 400 Nm, disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j. Sebagai perbandingan, varian X3 20 xDrive M Sport menawarkan 190 PS dan 310 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 7.8 saat serta kelajuan maksimum 215 km/j.
Melihat bahagian luarnya, model ini tampil lebih garang dengan penggunaan rim aloi M bersaiz 20 inci Style 1036 dua tona, dipadankan dengan tayar 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang. Walaupun menggunakan pakej M Sport, BMW mengekalkan spesifikasi suspensi standard, namun sistem brek M Sport dengan angkup berwarna biru gelap metalik turut disertakan.
Ruang dalaman pula menampilkan sentuhan sporty dengan kemasan bumbung M Anthracite, stereng M Sport tiga jejari dengan bahagian bawah rata, serta tempat duduk sport hadapan yang dilengkapi fungsi pengudaraan aktif dan sokongan lumbar. Kemasan tempat duduk menggunakan bahan kulit sintetik Veganza berliang warna hitam.
Sistem infotainmen menampilkan paparan melengkung BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen 12.3 inci dan skrin sesentuh utama 14.9 inci. Sistem audio turut dipertingkatkan kepada sistem bunyi keliling Harman Kardon dengan 15 pembesar suara dan output 765 watt. Sokongan sambungan telefon pintar melalui Android Auto dan Apple CarPlay juga disediakan.
Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, model ini dilengkapi pakej Driving Assistant Plus yang merangkumi amaran penukaran lorong dengan intervensi stereng aktif, amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, serta fungsi bantuan mengelak untuk kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki.
Selain itu, ia turut menampilkan paparan had laju dengan amaran larangan memotong, sistem pemantauan tahap keletihan pemandu, amaran trafik lintang belakang dengan fungsi membrek, amaran keluar kenderaan, pencegahan pelanggaran belakang, kawalan jelajah aktif dengan fungsi henti dan gerak, serta bantuan kawalan stereng dan lorong.
Untuk pilihan warna, BMW menawarkan Alpine White, Black Sapphire, Dune Grey dan Tanzanite Blue bagi X3 30 xDrive M Sport. Model ini tersedia di pasaran tempatan dengan harga bermula RM358,800, atau RM386,700 bersama pakej servis dan jaminan lima tahun.
The post BMW X3 30 xDrive M Sport 2026 di Malaysia – hibrid ringkas 2.0T 258 PS, audio Harman Kardon, RM387k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















































