Mazda menyasarkan untuk menjual lebih banyak model-model yang digerakkan oleh tenaga baharu (NEV, iaitu model termasuk EV dan juga hibrid) berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya di pasaran China tahun ini, lapor CarNewsChina.

Ketika berucap di Beijing Auto Show 2026 minggu lalu, pengarah eksekutif kanan Mazda Toru Nakajima menyatakan bahawa Mazda berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi era elektrifikasi di China, dan identiti jenama itu tidak akan tergugat dalam proses tersebut.

Malah menurutnya lagi 47% jualan Mazda di China untuk suku pertama tahun ini adalah dari model-model NEV, dan ia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi pengeluar automotif luar dengan kerjasama syarikat tempatan (JV) pertama di China yang menjual lebih banyak model NEV berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman.

Mazda memperkenalkan model EV pertamanya pada 2019 menerusi model MX-30, namun ia tidak diterima dengan baik oleh pasaran China di mana hanya sekitar 500 unit terjual dari 2022 hingga 2024. Namun dengan kerjasama pembuat automotif keempat terbesar di China iaitu Changan, Mazda telah menghasilkan dua model berasaskan platform EPA Changan iaitu sedan Mazda EZ-6 yang berasaskan model sub jenama Changan yang lebih sporty Deepal SL03, serta SUV Mazda EZ-60 yang diasaskan Deepal S07.

Mazda sasar jual lebih banyak model elektrifikasi dari enjin pembakaran di China dengan bantuan Changan

Kedua-dua model berkenaan bukan hanya ditawarkan dalam versi EV, malah turut ditawarkan dalam varian dengan unit rangkaian kuasa hibird REEV (Range Extender EV, di mana enjin pembakaran dalaman hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid. Mazda EZ-6 dan juga EZ-60 turut dibawa ke pasaran luar China, masing-masing dikenali sebagai Mazda 6e dan CX-6e.

Berdasarkan rekod jualan yang diambil dari China EV DataTracker, Mazda telah mencatatkan jualan sebanyak 91,061 unit kenderaan dari April 2025 hingga Mac 2026, atau hampir 20% lebih tinggi berbanding sasaran 76,000 unit yang ditetapkan. Manakala untuk jualan suku pertama 2026, walaupun CX-5 masih model Mazda paling laris di China, jualan untuk Mazda EZ-6 dan EZ-60 berjaya mewakili lebih 40% jualan jenama itu.

Nakajima turut menegaskan bahawa hubungan selama 20-tahun antara Mazda dan Changan kini lebih kuat dari sebelum ini, dan kedua-dua pihak kini komited untuk menghasilkan lebih banyak model NEV dengan input bersama.

The post Mazda sasar jual lebih banyak model elektrifikasi dari enjin pembakaran di China dengan bantuan Changan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts