Kontraktor utama Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) berkemungkinan berdepan denda melebihi RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir penyiapan projek yang terus meningkat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, laporan New Straits Times.

Menurut beliau, jumlah muktamad penalti yang boleh dikuat kuasakan atau ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) terhadap Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd hanya akan ditentukan selepas projek siap sepenuhnya dengan proses penyelesaian pertikaian standard akan digunakan. Jelasnya lagi, mekanisme LAD diwujudkan atas dasar yang kukuh dan akauntabiliti perlu dipertahankan di seluruh rantaian pelaksanaan projek.

Kementerian menjangkakan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan mentadbir kontrak itu secara tegas dan mengikut syarat yang ditetapkan, tambahnya.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tujuan saya mendedahkan angka LAD di Parlimen adalah pertamanya untuk memastikan akauntabiliti dan memberi isyarat bahawa terdapat kesan nyata terhadap kelewatan seperti ini. Akauntabiliti ini terpakai di seluruh rantaian pelaksanaan daripada kontraktor utama sehingga kepada subkontraktor,” katanya tanpa menyatakan bila projek itu dijangka siap sepenuhnya.

Pada akhir Februari lalu, Loke mendedahkan Setia Utama LRT 3 perlu membayar LAD disebabkan kelewatan projek ini iaitu sebanyak RM2.73 juta bagi setiap hari kelewatan daripada nilai kontrak dengan kelewatan awal selama 174 hari direkodkan sehingga akhir 2025.

LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir

“Kadar LAD tersebut, bersamaan 0.024% daripada jumlah nilai kontrak, adalah bagi memastikan kontraktor memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kelewatan dalam projek berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa jumlah keseluruhan pampasan hanya akan diketahui selepas projek itu siap sepenuhnya.

Setakat 27 April tahun ini, tambahan 117 hari kelewatan direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kelewatan kepada 291 hari. Ini membayangkan tambahan RM315.9 juta dalam LAD untuk 2026, sekali gus meningkatkan jumlah penalti terkumpul kepada kira-kira RM790.7 juta.

Mengenai kelewatan terkini, Loke berkata, kemas kini daripada Prasarana menunjukkan bahawa ia berpunca daripada cabaran integrasi sistem yang membabitkan dua faktor utama.

“Pertama adalah kelewatan dalam kesediaan sistem isyarat bagi fasa ujian dan pentauliahan. Kedua ialah kerosakan yang berlaku semasa fasa ujian tanpa gangguan. Di sini, kira-kira dua pertiga daripada kerosakan berkaitan sistem isyarat manakala baki satu pertiga membabitkan rolling stock,” katanya.

Tambahnya, pembinaan fizikal projek itu sebahagian besarnya sudah siap dengan stesen disiapkan tahun lalu, tren sudah dihantar lebih awal dan infrastruktur teras sudah tersedia. Cabaran yang masih berbaki adalah untuk memastikan semua sistem beroperasi dengan lancar sebagai satu rangkaian bersepadu.

LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir

“Ujian tanpa gangguan yang pada asalnya dirancang selama dua bulan terpaksa dilanjutkan kepada enam bulan. Tindak balas dalam menangani isu-isu yang timbul juga tidak sepantas yang dijangkakan sekali gus menyumbang kepada pelanjutan garis masa.

“Ini bukan cabaran luar biasa dalam projek integrasi rel yang kompleks di peringkat global, namun, ia menekankan keperluan pengurusan kontrak yang lebih rapi yang sedang diusahakan secara aktif oleh Prasarana,” katanya.

Bagi mengurangkan kelewatan lanjut, beliau berkata, Prasarana mempertingkatkan pengawasan terhadap baki fasa ujian dan pentauliahan termasuk pemantauan lebih rapi terhadap implikasi kos dan jadual.

“Prasarana sedang memantau implikasi kos dan jadual dengan teliti. Mekanisme LAD diwujudkan bagi melindungi kepentingan awam dalam situasi seperti ini di mana kontraktor yang menanggung beban kewangan akibat kelewatan, bukannya kerajaan atau orang awam,” katanya yang menambah bahawa projek itu kini berada dalam fasa akhir operasi percubaan dan tarikh pembukaan baharu akan diumumkan selepas semua keperluan ujian yang tertunggak diselesaikan dengan memuaskan

Katanya, aspek keselamatan dan kebolehpercayaan system tidak akan dikompromi semata-mata untuk memenuhi garis masa yang lebih awal. Dalam masa yang sama kontraktor juga sudah diarahkan untuk menambah baik masa tindak balas bagi pembaikan teknikal, ketika kementerian dan Prasarana berusaha mengelak pelanjutan lanjut fasa penghantaran akhir.

The post LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts