Selepas diperkenalkan secara rasmi pada Januari lalu, BMW iX1 L akhirnya menerima pengesahan harga untuk pasaran Malaysia. SUV elektrik jarak roda panjang ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu eDrive20L M Sport, dengan harga RM252,800 atas jalan tanpa insurans.
Angka ini sedikit lebih rendah daripada jangkaan awal, namun masih lebih tinggi berbanding model iX1 eDrive20 jarak roda standard yang pernah dijual tanpa cukai sebelum ini.
Seperti kebiasaan model BMW di Malaysia, harga tersebut hadir bersama jaminan dua tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan juga boleh memilih pakej lanjutan lima tahun dengan servis penyelenggaraan selama enam tahun pada harga keseluruhan RM268,600, manakala jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km disertakan secara standard. Model ini diimport sepenuhnya dari China, sekaligus mendapat manfaat struktur cukai lebih rendah berbanding model terdahulu yang diimport dari Jerman.
Dari segi spesifikasi, iX1 L mengekalkan konfigurasi motor tunggal di hadapan yang menghasilkan 204 PS dan 250 Nm tork. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 8.6 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j, sedikit lebih tinggi berbanding versi bukan L.
Bateri NMC berkapasiti 66.5 kWh (64.7 kWh bersih) turut dikekalkan, namun pertambahan saiz dan berat memberi kesan kepada jarak pemanduan. Model ini menawarkan jarak sehingga 433 km mengikut piawaian WLTP, lebih rendah berbanding 475 km untuk eDrive20 standard dan juga kurang daripada varian xDrive30 sebelum ini.
Keupayaan pengecasan pantas DC kekal pada kadar 130 kW, membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 32 minit. Bagi pengecasan AC, kadar maksimum ialah 11 kW dengan masa pengecasan penuh sekitar enam jam 45 minit.
Huruf “L” pada nama model ini merujuk kepada pertambahan jarak roda sebanyak 110 mm, menjadikan keseluruhannya 2,802 mm. Panjang keseluruhan turut meningkat kepada 4,616 mm, memberikan ruang kaki tambahan 81 mm dan ruang lutut bertambah 107 mm untuk penumpang belakang.
Dari segi luaran, pakej M Sport masih dikekalkan dengan rekaan bampar lebih agresif, skirting tepi serta rim aloi 19 inci M twin-spoke Style 871M. Kemasan Shadowline hitam berkilat dan rel bumbung turut disertakan, manakala versi eDrive20L hadir dengan tambahan seperti bingkai gril kidney berwarna hitam dan lampu hadapan LED adaptif yang digelapkan.
Pilihan warna juga dikemaskini dengan pengenalan dua warna kelabu baru iaitu M Brooklyn Grey dan Skyscraper Grey, menggantikan beberapa warna terdahulu. Kedua-duanya ditawarkan bersama warna sedia ada seperti Mineral White dan Carbon Black, menjadikan palet warna kini lebih berkonsepkan monokrom.
Di bahagian kabin, iX1 L menerima peningkatan dari segi keselesaan dengan penggunaan kusyen tempat duduk lebih lembut serta bahagian tempat duduk belakang yang dipanjangkan. Upholsteri Veganza kini hadir dengan kemasan berliang, namun masih tanpa fungsi pengudaraan. Hanya satu pilihan warna dalaman ditawarkan iaitu Castanea Red, dan pilihan gabungan Alcantara tidak lagi disediakan.
Kelengkapan lain termasuk stereng M Sport tiga jejari, tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu serta kemasan aluminium Hexacube. Bahagian bumbung kini menggunakan warna Ivory White bagi suasana lebih terang, selain penambahan bumbung kaca panoramik yang sebelum ini tidak ditawarkan.
Dari segi teknologi, model ini dilengkapi sistem BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi paparan instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen 10.7 inci serta head-up display. Turut disertakan ialah sistem bunyi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi dan pintu but berkuasa dengan fungsi bebas tangan. Sistem suspensi pula kini menggunakan talaan “comfort” menggantikan sistem sebelumnya.
Aspek keselamatan merangkumi pakej Driving Assistant Plus dengan pelbagai ciri bantuan pemandu seperti brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pengekalan lorong, amaran titik buta serta amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik. Menariknya, fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 2 kini diaktifkan sepenuhnya tanpa memerlukan langganan tambahan seperti sebelum ini.
The post BMW iX1 L secara rasmi dijual pada harga RM252,800 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















































































