Jabatan Penerangan Malaysia telah menyiarkan sebuah infografik di laman Facebook-nya yang menunjukkan meskipun konflik Asia Barat masih berterusan, harga petrol dan diesel di Malaysia masih antara yang terendah di ASEAN, bahkan jika dibandingkan dengan Arab Saudi yang kaya dengan minyak.
Harga pam RON 95 untuk tujuh hari akan datang telah diumumkan semalam, iaitu RM3.92 seliter (tanpa subsidi). Namun bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang layak, mereka masih lagi menikmati harga RON 95 seliter bersubsidi RM1.99 seliter bagi 200 liter pertama. Di ASEAN, harga ini hanya berada di belakang Brunei dengan RM1.65 seliter.
Bagi diesel, pengguna di Singapura ketika ini membayar RM12.07 seliter — jumlah terbesar di rantau ini. Di Malaysia, pengguna di Semenanjung membayar RM4.87 seliter (minggu ini) manakala pengguna Sabah dan Sarawak membayar RM2.15. Bagaimanapun, kerajaan Malaysia turut menawarkan bantuan dalam bentuk Budi Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Budi Diesel ialah kaedah bayaran balik tunai secara bulanan (kini RM400 — bermula dengan RM200, kemudian RM300) yang boleh dimohon oleh mereka yang layak — warganegara Malaysia yang memandu kenderaan diesel bukan mewah berusia kurang daripada 10 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM100 ribu setahun.
Petani dan pekebun kecil yang berdaftar dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) juga boleh memohon Budi Diesel — sekiranya mempunyai perolehan tahunan antara RM50k-RM300k daripada pengeluaran pertanian atau komoditi.
Sebagai alternatif, SKDS menawarkan diesel pada harga RM2.15 seliter untuk kenderaan barangan, RM1.88 untuk pengangkutan awam darat (termasuk bas, teksi, ambulans dan bomba) dan RM1.65 untuk nelayan. Oleh itu, Malaysia ketika ini mempunyai lima harga diesel — tanpa subsidi (RM4.87 minggu ini), ‘RM400-subsidi’, RM2.15, RM1.88 dan RM1.65. Di Brunei, seliter diesel hanya dijual dengan harga 96 sen – angka terendah di seluruh pasaran.
The post Harga petrol dan diesel di Malaysia antara paling rendah serantau ketika ini — Jabatan Penerangan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















