Seorang pemandu Toyota Alphard yang cuba melarikan diri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah akhirnya ‘kantoi’ apabila ditahan pada 25 Mei 2026.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi JPJ Kedah, pemandu tersebut melarikan diri selepas ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah.
Walau bagaimana pun, pihak JPJ kemudian berjaya mengesan kenderaan itu yang diparkir berhampiran sebuah bank di Mergong, dan hasil siasatan mendapati ia mempunyai lebih 20 saman AES tertunggak bernilai lebih RM6,000. Selain itu, MPV tersebut juga tidak mempunyai cukai jalan dan insurans yang sah sejak Februari.
“Alasan pemilik ialah saman itu ‘baru muncul’ tahun ini dan dia mengalami masalah kewangan serta meminta diberikan masa untuk membayar saman,” menurut perkongsian Facebook terbabit.
JPJ Kedah menegaskan bahawa tindakan melarikan diri atau cuba menyembunyikan kenderaan tidak akan menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap pemilik yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
The post Toyota Alphard dengan lebih 20 saman AES, cukai jalan luput disita dalam cubaan loloskan diri dari JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















