Pengeluar tayar dari Jerman, Continental Tyres secara rasmi melancarkan operasi Fasa 2 kilang mereka di Rayong, Thailand, sebagai sokongan kepada fasiliti sedia ada Korbach, Jerman. Ini berlaku susulan daripada penutupan kilang tayar di Alor Setar, Kedah hujung tahun lalu.
Dalam masa sama, pembukaan Fasa 2 ini juga menandakan permulaan pengeluaran tayar radial motosikal di kilang yang sudah beroperasi sejak tahun 2019 itu, yang mana sebelum ini cuma memfokuskan pengeluaran tayar kenderaan penumpang, trak ringan serta bias-ply motosikal.
Menurut Ketua Bidang Perniagaan Tayar Motosikal Continental, Christoph Ettenhuber, langkah ini menjadi sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperkukuhkan operasi pengeluaran global dan kini fasiliti tersebut memainkan peranan lebih penting dalam rangkaian pengeluaran antarabangsa syarikat.
Pengeluaran awal tayar radial motosikal di Thailand dijangka dimulakan dengan model sports Conti SportAttack5, selain tayar adventure-touring TKC 80² yang baru sahaja dilancar. Kilang tersebut juga akan menghasilkan tayar untuk motosikal berkapasiti kecil serta tayar skuter bagi memenuhi permintaan pasaran serantau dan antarabangsa.
Continental turut menegaskan bahawa keseluruhan proses pengeluaran di Rayong dilakukan sepenuhnya secara dalaman, bermula daripada penghasilan campuran getah sehingga produk siap. Proses kawalan dan jaminan kualiti pula mengikut standard global Continental dengan penggunaan teknologi automasi secara menyeluruh.
Setiap tayar yang dihasilkan boleh dijejaki pada setiap peringkat pengeluaran menerusi sistem pemantauan digital. Continental menggunakan pelbagai teknologi seperti penimbang automatik, profilometer dan sistem kamera pemantauan bagi mengurangkan risiko kesilapan manual serta memastikan tahap konsistensi produk sentiasa berada pada tahap optimum.
Kilang tersebut turut menerima pensijilan IATF 16949 daripada International Automotive Task Force pada Mac 2026, sekaligus mengukuhkan lagi standard kualiti pengeluaran fasiliti berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Continental turut melaksanakan peluasan Fasa 2 untuk kilang tayar kereta mereka di Rayong. Projek tersebut membolehkan kapasiti pengeluaran tayar kereta penumpang dan kenderaan ringan meningkat sebanyak tiga juta unit tambahan setahun.
Pelaburan bagi peluasan itu dianggarkan bernilai 300 juta euro dan turut mewujudkan sekitar 600 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di wilayah Rayong.
Secara keseluruhan, fasiliti Continental di Rayong meliputi kawasan seluas 135,000 meter persegi dengan elemen kelestarian menjadi fokus utama dalam pembangunan kilang tersebut. Antaranya termasuk penggunaan panel solar berkapasiti 6.7 MW yang mampu membekalkan kira-kira 13% keperluan elektrik kilang.
Selain itu, Continental turut melaksanakan sistem pengurusan air yang lebih efisien sehingga berjaya mengurangkan penggunaan air bagi setiap unit pengeluaran sebanyak 70%. Program kitar semula bahan buangan juga menjadi sebahagian daripada usaha syarikat dalam mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
The post Continental besarkan kilang di Rayong, Thailand – Fasa 2 termasuk pengeluaran tayar radial motosikal appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































