Brabus sememangnya terkenal sebagai syarikat talaan dan modifikasi kenderaan berprestasi tinggi, namun pengenalan model terbarunya yang dikenali sebagai Brabus Bodo menandakan satu langkah lebih besar buat syarikat dari Jerman itu. Bodo merupakan model coachbuilt pertama Brabus yang dibangunkan sebagai sebuah coupe grand tourer (GT) 2+2 eksklusif dengan harga permulaan mencecah satu juta euro, bersamaan kira-kira RM4.6 juta.
Nama “Bodo” mungkin kedengaran unik, namun ia sebenarnya mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Brabus. Model ini dinamakan sempena Bodo Buschmann, pengasas Brabus yang meninggal dunia pada April 2018. Nama syarikat Brabus sendiri diambil daripada gabungan tiga huruf pertama nama keluarga Buschmann dan Klaus Brackmann, iaitu rakan pengasas syarikat tersebut.
Bodo dibangunkan menggunakan asas Aston Martin Vanquish sebelum keseluruhan badan asal digantikan dengan rekaan baru yang diperbuat daripada gentian karbon, kecuali bahagian bumbung yang dikekalkan. Hasilnya, model ini tampil dengan imej jauh lebih agresif dan eksklusif berbanding Vanquish standard.
Bahagian luaran Bodo menonjolkan rekaan bahu belakang yang lebar sebelum bersambung ke rekaan boat tail di belakang, sekaligus memberikan karakter GT klasik moden. Ia turut dipadankan dengan lampu belakang unik, diffuser bersepadu, spoiler boleh laras serta sistem ekzos berkembar bertindih yang menjadi identiti utama model ini.
Di bahagian hadapan pula, Bodo menampilkan gril bersaiz besar dengan rekaan bilah menegak, digabungkan bersama liang udara besar dan lampu hadapan tajam yang memberikan imej garang seakan kereta penjahat dalam filem aksi. Penampilan tersebut diperkemaskan lagi dengan rim Brabus Monoblock Z-GT Shadow Edition bersaiz 21 inci yang membantu menghasilkan kedudukan lebih lebar dan rendah.
Sistem brek turut diberikan perhatian serius dengan penggunaan cakera brek karbon seramik bersama angkup enam piston. Tayar khas Continental SportContact 7 yang dibangunkan khusus untuk model ini digunakan, dengan saiz 275/35 di hadapan dan 325/30 di belakang bagi memastikan tahap cengkaman optimum pada kelajuan tinggi.
Ruang kabin masih mengekalkan beberapa elemen asal Aston Martin Vanquish, namun Brabus melakukan pelbagai sentuhan eksklusif termasuk penggunaan corong pendingin hawa seperti Mercedes-Benz. Tempat duduk bercorak quilted, kemasan gentian karbon dan tema dalaman serba gelap menjadikan suasana kabin tampil lebih mewah dan sporty.
Sebagai sebuah model Brabus, aspek prestasi turut dipertingkat secara drastik. Enjin asal 5.2 liter V12 turbo berkembar milik Vanquish yang menghasilkan 835 PS dan 1,000 Nm kini dinaik taraf kepada 1,000 PS dan 1,200 Nm. Tork maksimum tersedia seawal 2,900 rpm sehingga 5,000 rpm.
Bagi mencapai peningkatan kuasa itu, Brabus memasang turbo baru, melakukan talaan semula pada kepala silinder, menaik taraf sistem pengurusan bahan api serta menggunakan sistem ekzos prestasi tinggi yang dibangunkan khas. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan bersama differential kawalan elektronik.
Prestasi yang dihasilkan sememangnya mengagumkan apabila Bodo mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya tiga saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 360 km/j. Sebagai model ultra eksklusif, hanya 77 unit Bodo akan dihasilkan di seluruh dunia, angka tersebut dipilih sebagai penghormatan kepada tahun penubuhan Brabus pada 1977.
Sebagai tambahan, Brabus terkenal dengan penghasilan model-model berprestasi ekstrem berasaskan Mercedes-AMG, Porsche dan Rolls-Royce. Namun Bodo memperlihatkan hala tuju baru syarikat itu dalam menghasilkan model coachbuilt tersendiri yang bukan sekadar menawarkan prestasi luar biasa, malah rekaan eksklusif dan identiti unik tersendiri.
The post Brabus Bodo diperkenal – asas daripada Aston Martin Vanquish, enjin 1,000 PS, hanya 77 unit dikeluarkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.









































