Selepas 50 tahun model pertama yang menerima lencana GTI pada sebuah Volkswagen dilancarkan, kini secara rasmi pembuat automotif dari Jerman berkenaan melancarkan pula model GTI yang digerakkan oleh 100% kuasa elektrik. Tetapi EV GTI ini bukanlah diasaskan dari badan Golf – ini dia Volkswagen ID Polo GTI membuat kemunculan sulung globalnya di perlumbaan Nürburgring 24 Jam Jumaat minggu lalu!
ID Polo GTI ini diasaskan dari platform MEB+ pacuan roda hadapan, iaitu platform yang sama digunakan pada ID Polo biasa yang telah pun didedahkan pada Mei lalu. Ia menampilkan dimensi panjang 4,096 mm, lebar 1,816 mm, tinggi 1,513 mm, serta jarak roda sejauh 2,600 mm. Jadi berbanding model generasi terakhir Polo GTI dengan enjin pembakaran dalaman, ID Polo GTI ini adalah 22 mm lebih panjang, 65 mm lebih lebar, 62 mm lebih tinggi serta jarak roda 48 mm lebih jauh.
Menurut VW dengan saiz lebih besar ini ia memberikan penumpang 19 mm ruang dalaman lebih luas serta ruang kargo belakang membesar dari 351 liter sebelum ini kepada 441 liter. Dengan tempat duduk belakang dilipat, ruang berkenaan juga menjadi lebih besar kepada 1,240 liter, berbanding 1,125 liter sebelumnya.
Versi dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh ini juga lebih berat iaitu ditimbang pada 1,540 kg berbanding 1,250 kg untuk Polo GTI ICE sebelum ini – perbezaan hampir 300 kg tersebut bukan sahaja kerana badannya yang lebih besar, malah sudah tentu kerana bateri EV yang memenuhi sepenuhnya bahagian lantai.
Ia dibekalkan dengan motor elektrik pada gandar hadapan berkuasa 226 PS dan tork maksima 290 Nm bermula 0 rpm, cukup untuk membolehkan ia memecut dari 0-100 km dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j – sedikit lebih perlahan berbanding Polo GTI dengan enjin 2.0 liter TSI turbo 207 PS/320 Nm yang lebih ringan sebelum ini dengan catatan pecutan sama hanya 6.5 saat.
Unit rangkaian kuasa ini turut menampilkan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan juga Individual. Launch Control juga disediakan bagi membolehkan hot-hatch elektrik ini berlepas seperti roket. Kuasa yang dibekalkan juga didakawa membolehkan VW ID Polo GTI ini menarik treler seberat 1.2 tan dengan kecerunan jalan sehingga 12%.
Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri NMC 52 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 424 km dalam kitaran ujian WLTP. Ia boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 105 kW membolehkan cas dari 10% hingga 80% dalam masa 24 minit. Kuasa dari bateri berkenaan turut boleh digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain menerusi sistem vehicle-to-load (V2L).
Walaupun dengan badan yang lebih besar dan berat, Volkswagen menjanjikan pengalaman pemanduan GTI sebenar pada Polo ID GTI ini. Casis hot-hatch EV ini masih menampilkan konfigurasi suspensi Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang, dengan talaan semula dibuat untuk memberikan pengendaliannya lebih baik termasuk memadankan bar anti oleng hadapan, gandar torsion beam belakang serta set spring ke semuanya lebih keras berbanding Polo ID biasa.
Dan yang paling penting bagi mendapatkan pengendalian yang kekal lincah pada model lebih berat ini adalah pemadanan sistem suspensi DCC ikonik GTI yang menampilkan penyerap hentak jenis adaptif dengan mod Eco, Comfort, Sport, Individual dan GTI yang boleh dipilih. Gandar hadapan juga masih dibekalkan dengan LSD elektronik XDS Volkswagen bagi mengagihkan tork roda kiri dan kanan secara tepat untuk memberikan cengkaman paling optimum bergantung kepada situasi.
Rupa luaran versi GTI ini tidak jauh lari ID Polo biasa, yang menampilkan badan hatchback lima-pintu tetapi dengan pembuka pintu belakang yang tersorok, menjadikan ia seolah-olah hatchback tiga-pintu jika dipandang sekilas lalu. Rupa yang lebih garang disumbangkan dari bampar hadapan yang lebih labuh serta gril bawah lebih besar dengan ‘taring’ berwarna merah, skirt sisi lebih tebal, kemasan seakan diffuser pada bampar belakang yang jauh lebih agresif, serta set rim aloi yang besar dengan diameter 19-inci diberikan – corak jejari Capetown diberikan secara standard manakala Wörthersee pula adalah pilihan opsyen.
Satu jalur merah tambahan turut diberikan pada bawah lampu hadapan dengan logo GTI. Logo-logo GTI turut boleh dijumpai pada semua rim, bahagian belakang skirt sisi dan juga pada bahagian tengah pintu hatch belakang. Antara perincian standard luaran yang diberikan termasuk lampu hadapan matriks IQ.Lights, lampu belakang LED IQ.lights dan juga logo Volkswagen bernyala.
Enam warna badan disediakan untuk Polo ID GTI ini iaitu Tornado Red solid, Candy White solid, Oyster Silver metallic, Celestial Blue metallic, Magnetic Grey metallic dan juga Grenadilla Black metallic.
Manakala pada sebelah dalam, rupa papan pemuka Polo ID biasa termasuk kokpit digital yang terdiri daripada paparan instrumen bersaiz 10.25 inci bersama mod “retro display” yang diinspirasikan daripada meter analog model Volkswagen Golf Mk1., skrin infotainmen 12.9-inci serta suis-suis kawalan fizikal yang disusun seperti kekunci piano di bawah corong penghawa dingin tengah masih dikekalkan.
Ia nampak lebih garang menerusi tema hitam bersama serlahan-serlahan merah yang ditonjolkan jalur-jalur kemasan pada kabin GTI ini. Roda stereng juga masih diasaskan dengan bentuk yang sama, tetapi ia kelihatan jauh lebih sporty dengan balutan kulit hitam, modul beg udara juga berwarna hitam serta serlahan jahitan merah, logo GTI di bawah berwarna merah dan juga penanda pukul 12 juga berwarna merah.
Tempat duduk hadapan bucket yang lebih sporty juga diberikan pada GTI elektrik ini, dibalut dengan upholsteri ArtVelours Eco Soul microfleece yang menyerlah grafik tartan yang ikonik, di mana bahan yang sama turut boleh dijumpai pada kemasan panel pintu.
Perincian lain yang turut diberikan termasuk lampu suasana kabin dengan pilihan 30 warna, butang penghidup dan juga tempat duduk hadapan yang boleh dilaras dengan bantuan elektrik 12-hala. Menurut Volkswagen, pra-jualan ID Polo GTI ini akan bermula di Jerman pada musim luruh ini dengan harga bermula 39,000 Euro atau sekitar RM178k.
The post Volkswagen ID Polo GTI didedahkan – 226 PS/290 Nm, 0-100 km/j 6.8s, 424 km WLTP, suspensi adaptif DCC appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
























































































