BMW Motorrad memperkenalkan sebuah motosikal konsep unik dikenali sebagai BMW Motorrad Vision K18 di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este yang berlangsung di Tasik Como, Itali. Model ini dibangunkan berasaskan platform BMW K1600B, iaitu motosikal touring mewah BMW yang turut dipasarkan di Malaysia pada harga sekitar RM173,500.
Vision K18 menampilkan interpretasi baru BMW terhadap motosikal touring berprestasi tinggi dengan gabungan elemen seni dan kejuruteraan moden. Jentera konsep ini digerakkan oleh enjin enam silinder sebaris berkapasiti 1,800 cc yang menjadi identiti utama model berkenaan.
BMW Motorrad menyifatkan konfigurasi enjin enam silinder itu bukan sekadar nadi penggerak, tetapi simbol prestasi, kemewahan dan emosi yang menjadi teras pembangunan motosikal ini.
Rekaan Vision K18 banyak dipengaruhi oleh dunia penerbangan, terutama melalui penggunaan panel badan yang panjang dan aerodinamik sehingga menyerupai pesawat berkelajuan tinggi. BMW menggunakan konsep “Full Force Forward” bagi menyerlahkan karakter enjin enam silinder tersebut. Elemen itu diterjemahkan menerusi penggunaan enam saluran kemasukan udara di bahagian hadapan, enam paip ekzos di belakang serta enam lampu LED pada bahagian lampu.
Penampilan motosikal ini turut diperkemaskan dengan sistem suspensi hidraulik yang direndahkan bagi menghasilkan kedudukan lebih rendah dan memanjang. Hampir keseluruhan badan Vision K18 dihasilkan secara manual menggunakan aluminium yang dibentuk dengan teknik planishing. Antara komponen paling menonjol ialah panel sisi sepanjang lebih dua meter yang kelihatan seolah-olah dihasilkan daripada satu kepingan logam tanpa sambungan.
BMW turut menggunakan bahan forged carbon pada beberapa bahagian bagi mengurangkan berat selain memberikan sentuhan moden dan premium. Teknik flame spraying pula digunakan untuk menghasilkan kemasan logam berkilat pada beberapa komponen utama. Kedudukan kotak udara dan tangki bahan api juga diubah bagi menghasilkan profil motosikal yang lebih panjang, rendah dan rata.
Bahagian belakang motosikal ini menempatkan enam paip ekzos yang disusun tiga di setiap sisi, manakala bahagian hadapan pula menyalurkan udara terus ke kotak udara melalui enam saluran intake yang direka khas. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, Markus Flasch, Vision K18 memperlihatkan bagaimana BMW mentafsir prestasi, kemewahan dan emosi dengan pendekatan yang lebih berani dan yakin.
Sebagai tambahan, enjin enam silinder sebaris BMW Motorrad yang digunakan pada keluarga K1600 sememangnya terkenal sebagai antara enjin touring paling lancar dalam segmennya. Enjin tersebut menghasilkan kuasa sekitar 160 hp dan tork melebihi 180 Nm pada model produksi K1600.
BMW turut melengkapkan motosikal touring mereka dengan teknologi moden seperti sistem suspensi elektronik Dynamic ESA, mod tunggangan, kawalan cengkaman, lampu adaptif serta sistem infotainmen TFT bersaiz besar yang direka khusus untuk perjalanan jarak jauh.
The post BMW Vision K18 Concept didedah – gaya inspirasi daripada dunia penerbangan, enjin enam silinder appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




































