Menurut infografik yang disiarkan oleh Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (MyZEVA) yang memetik dari data.gov.my, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kini merupakan dua negeri yang telah melepasi sasaran penyediaan pengecas kenderaan elektrik (EV) nasional masing-masing setakat Mac 2026.
Sasaran yang ditetapkan untuk negeri-negeri ini ialah 1,050 pengecas untuk Kuala Lumpur dan 600 pengecas untuk Pulau Pinang. Malah kadar ketersediaan pengecas EV di KL sebenarnya adalah lebih banyak dari yang disasarkan dengan mencapai kadar 160%, manakala Pulau Pinang pula berada pada kadar 105%.
Negeri-negeri lain yang telah melepasi 50% pula adalah termasuk Johor (55%), Pahang (52%) dan Sarawak (52%). Selangor, yang mempunyai sasaran 4,000 pengecas (tertinggi di antara semua negeri), kini berada pada 46%. Perak juga berada pada 46% tetapi sasarannya jauh lebih rendah iaitu hanya 500 pengecas.
Bagi negeri-negeri selebihnya kebanyakannya diberikan sasaran tidak sampai seribu unit. Ia termasuk Negeri Sembilan (sasaran 300 pengecas, lengkap 35%), Melaka (350, 30%), Kedah (400, 26%), Terengganu (300, 20%) dan Kelantan (250, 13%). Juga terdapat negeri yang masih belum melepasi 10%, ia termasuk Sabah yang hanya mencapai 9% (sasaran 350 pengecas) dan Perlis hanya 4% dengan sasaran terendah berbanding semua negeri lain iaitu hanya 50 pengecas.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini mensasarkan untuk memasang 10,000 pengecas EV (jumlah yang anda akan dapat sekiranya mencampurkan jumlah sasaran untuk setiap negeri) di seluruh negara menjelang tahun 2025 seperti yang digariskan pada 2021 di bawah Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030. Namun menerusi laporan pada Disember tahun lalu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mendedahkan bahawa ia hanya telah mengeluarkan lesen kepada 5,360 pengecas EV awam setakat 31 November 2025.
The post KL dan P.Pinang lepasi sasaran penyediaan pengecas EV nasional – masih banyak negeri bawah kadar 50% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















