Capital Intertrade, anak syarikat milik penuh Permaju Industries Bhd akan menamatkan perniagaan pengedaran jenama Ford selepas mengemukakan notis penutupan syarikat dan penyerahan operasi jualan dan servis kepada Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd (Sime Darby Auto), lapor Bernama.
Menurut Permaju dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, ia menamatkan perjanjian jualan dan perkhidmatan pengedar serta menyerahkan pengedaran Ford yang dimeterai bersama-sama Sime Darby Auto pada 22 April 2011, dan kedua-dua pihak bersama-sama telah bersetuju untuk menghentikan operasi tersebut menjelang 31 Julai 2026.
“Penamatan itu dibuat selepas pertimbangan dan analisis terhadap prestasi lalu serta kemungkinan semasa dan masa depan yang menunjukkan kekurangan dari segi kemampanan dan potensi pertumbuhan,” tambah Permaju dalam kenyataan itu.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa ia kini sedang berunding dengan beberapa pengedar lain sebagai kemungkinan penggantian dan akan membuat pengumuman selepas perbincangan dimuktamadkan. Ia turut menjelaskan penamatan tersebut dijangka tidak menjejaskan tahap kadar hutang, keuntungan sesaham, aset bersih dan pegangan saham utama bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.
Permaju juga menambah, tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam penamatan tersebut. Capital Intertrade mengendalikan Ford TTDI di Sungai Penchala. Syarikat induknya juga memiliki Cergazam, yang kini merupakan pengedar Xpeng. Cergazam sebelum ini juga merupakan pengedar untuk jenama Chevrolet, Volkswagen dan pernah mengedar MG untuk tempoh yang singkat.
The post Capital Intertrade akan tamatkan perniagaan pengedaran jenama Ford menjelang 31 Julai ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















