Integrasi antara pas perjalanan Rapid KL dan sistem Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sukar untuk dilaksanakan buat masa ini berikutan perbezaan pengendali, sistem dan kos operasi antara kedua-dua perkhidmatan tersebut, laporan Bernama.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, perkara mengenai integrasi kedua-dua sistem ini telah lama dibincangkan, namun pelaksanaannya berdepan beberapa kekangan utama dari segi struktur operasi dan skop perkhidmatan.
Tambahnya, perkhidmatan LRT, MRT dan monorel dikendalikan oleh Prasarana Malaysia, manakala KTM Komuter pula dikendalikan oleh KTMB, justeru terdapat dua pengendali berbeza dengan sistem operasi yang tidak seragam digunakan antara perkhidmatan tersebut.
“Selain itu, perjalanan [KTM Komuter] adalah lebih jauh dan merentas negeri. Ia bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi boleh meliputi laluan panjang seperti dari Tampin atau Gemas ke Klang, malah sejauh Tanjung Malim di utara,” katanya.

Jelasnya lagi, perbezaan jarak perjalanan dan skala operasi menyebabkan kos operasi perkhidmatan KTM Komuter jauh lebih tinggi, sekali gus menjadikan integrasi penuh pas My50 Prasarana dengan semua perkhidmatan rel sukar untuk dilaksanakan.
Selain itu, Loke turut berkata, walaupun KTMB dan Prasarana merupakan syarikat milik kerajaan, kedua-duanya masih perlu menampung sebahagian kos operasi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat.
“Setiap tahun sebenarnya terdapat jurang pembiayaan yang besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Sebagai contoh, jurang pembiayaan KTMB dianggarkan sekitar RM300 juta, jadi perkhidmatan ini bukan berorientasikan keuntungan, tetapi untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan, kita perlu mendapatkan semula sebahagian kos,” kata Loke.
Menteri Pengangkutan itu berkata kerajaan tetap memahami keperluan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampu milik dan berbaloi, menurut laporan tersebut.
The post Sistem LRT, MRT, Monorel Rapid KL dan KTMB Komuter sukar untuk diintegrasikan – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















