Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengesahkan kerajaan sedang memperhalusi penentuan garis pemisah yang sesuai antara golongan yang wajar menerima subsidi petrol dan mereka yang boleh dikeluarkan daripada sistem subsidi berkenaan dalam usaha melaksanakan mekanisme subsidi lebih bersasar, laporan Harian Metro.

“Dalam usaha kita menyampaikan subsidi ini kepada kumpulan sasaran, kita juga tidak mahu sehingga memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan ataupun dari segi ketersediaan untuk beralih sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga telah membincangkan perkara tersebut susulan kesediaan kerajaan untuk menambah baik kaedah pemberian subsidi supaya lebih bersasar.

“Perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat MTEN sebelum ini dan seperti Perdana Menteri telah nyatakan, ketersediaan kerajaan untuk menimbang keperluan kita menyasarkan lagi kaedah pemberian subsidi ini. Sudah pasti dari segi cabaran yang terbesar mungkin adalah memastikan tahap ambang itu perlu berlaku. Ini yang memerlukan pertimbangan dari pelbagai dimensi,” katanya.

Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi

Tambahnya, antara perkara yang turut diberi perhatian ialah kaedah komunikasi dasar tersebut supaya dapat difahami rakyat dengan jelas. Selain itu, katanya, terdapat pandangan daripada sektor akademik dan pelbagai pihak supaya pengurusan subsidi tidak lagi dilaksanakan secara pukul rata, sebaliknya mengambil kira keperluan penggunaan.

“Kita pun sebelum ini telah menimbangkan dari segi pengurusan kuantiti bekalan yang kita berikan kepada setiap penerima. Kaedah seterusnya adalah melihat supaya hasil atau subsidi ini benar-benar memanfaatkan kumpulan sasaran,” katanya.

Mengenai jangka masa pemuktamadan mekanisme itu, beliau berkata, kerajaan berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan sebelum bermulanya bulan baharu memandangkan pelaksanaannya turut melibatkan kesiapsiagaan sistem.

“Kalau pandangan saya, sebaiknya kita dapat memuktamadkannya sebelum bermulanya bulan baharu. Hal ini kerana, apabila kita ingin membawa perubahan, ia juga melibatkan sistem. Justeru, itu bergantung pada ketersediaan sistem untuk memastikan saringan itu berlaku dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan mekanisme baharu itu berkemungkinan besar akan dibuat pada awal bulan bagi memudahkan proses pelaksanaan sepenuhnya.

Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi

Mengenai penggunaan data bagi menentukan kategori penerima subsidi, Akmal berkata beberapa dimensi termasuk pendapatan dan faktor lain sedang dipertimbangkan kerajaan. Di mana perincian lanjut hanya akan diumumkan selepas kerajaan membuat keputusan muktamad, termasuk mekanisme rayuan bagi memastikan pelaksanaan lebih telus dan mudah diterima kumpulan sasaran.

“Sudah pasti data yang ada, khususnya daripada Kementerian Ekonomi, kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada penentu atau rujukan bagi data atau dimensi yang akan dipertimbangkan,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi. Katanya, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lepas, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar secara lebih menyeluruh, termasuk meneliti semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan T20. Katanya, subsidi berkenaan lebih wajar disalurkan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, selain sebagai langkah memperkukuh ekonomi negara dalam berdepan ketidaktentuan global.

The post Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts