Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) mengesan kewujudan sindiket menggunakan individu yang bertindak sebagai ‘runner’ yang dilengkapi kad fleet bagi membuat pembelian bahan api terkawal di kaunter stesen minyak. Bukan setakat membeli, tapi pada masa sama, ahli sindiket lain akan menunggu di pam untuk mengisi bahan api itu ke dalam lori yang sudah diubah suai, laporan Berita Harian.
Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, kaedah terbaru itu dikesan dalam satu operasi malam tadi, yang membawa kepada penahanan sebuah lori dipercayai terbabit dalam penyelewengan subsidi di sebuah stesen minyak di Sungai Besi. Di mana taktik berkenaan menunjukkan perubahan modus operandi apabila sindiket cuba menjauhkan diri daripada urus niaga secara langsung bagi mengelak dikesan.
“Daripada memegang atau menggunakan sendiri kad fleet, mereka kini menggunakan ejen atau ‘runner’ untuk berurusan di kaunter, manakala mereka pula menunggu di pam untuk mengisi diesel ke dalam lori yang diubah suai dengan tangki simpanan.
“Dalam operasi ini, pasukan penguat kuasa bermotosikal berpakaian preman menahan sebuah lori tiga tan di sebuah stesen minyak di sini. Pemeriksaan mendapati lori itu dilengkapi tiga tangki yang diubah suai dengan setiap satu berkapasiti 1,000 liter. Jika diisi penuh, jumlah keseluruhan boleh mencecah 3,000 liter dengan anggaran kerugian subsidi sebanyak RM12,000,” katanya.
Tambah beliau, ketika tangkapan dibuat, kira-kira 1,500 liter diesel sudah diisi ke dalam tangki itu yang dipercayai untuk kegunaan jentera berat dan lori yang tidak layak menerima subsidi atau sudah melebihi kuota.
“Lori itu dipercayai dari Seremban dan telah mengisi minyak di tiga atau empat stesen di sana sebelum datang ke sini dan kemudian dijangka kembali ke tempat asal,” katanya.
Mohd Sabri berkata, ejen atau ‘runner’ terbabit bergerak menggunakan kenderaan berasingan di hadapan lori bagi memudahkan melarikan diri dengan cepat.
“Dalam kes ini, ‘runner’ berjaya melarikan diri ketika serbuan dilakukan. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan penguatkuasaan termasuk resit transaksi mengesahkan diesel bersubsidi dibeli menggunakan kad fleet walaupun cuba disembunyikan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan kerana berurusan dengan barangan kawalan tanpa lesen atau permit sah mengikut Akta Kawalan Bekalan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, katanya yang juga mengesahkan pengusaha stesen minyak tersebut turut disiasat bagi menentukan sama ada terdapat unsur pakatan dalam kegiatan berkenaan.
The post Sindiket guna runner yang ada kad fleet untuk beli dan isi diesel dalam lori yang diubahsuai – KPDN KL appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















