Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan 900 unit Mitsubishi Xforce pada penghujung April ini, tak sampai sebulan selepas SUV segmen-B berkenaan dilancarkan pada 8 April lalu.
“Kami amat berterima kasih atas sambutan yang menggalakkan terhadap Mitsubishi Xforce Serba Baharu. Mencapai 900 penghantaran dalam bulan pertama pelancaran merupakan bukti kukuh keyakinan pelanggan kami terhadap jenama Mitsubishi dan model baharu yang menarik ini,” kata Takashi Sakamaki, CEO Mitsubishi Motors Malaysia.
“Kepada pelanggan kami, terima kasih kerana menjadi antara yang pertama menggunakan Xforce dan atas kepercayaan anda kepada kami. Sokongan anda amat bermakna kepada semua orang di Mitsubishi Motors Malaysia. Kami kekal komited untuk memastikan pengalaman penghantaran yang lancar sambil terus menyediakan kualiti, kebolehpercayaan dan keyakinan pemanduan yang mendefinisikan kenderaan Mitsubishi,” tambahnya.
Mitsubishi Xforce 2026 pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM109,980 untuk varian Urban, dan RM119,980 untuk varian Ultimate. Sempena pelancarannya, promosi istimewa turut diberikan kepada pelanggan terawal.
Antaranya ialah rebat tunai sebanyak RM5,000, servis percuma sebanyak tiga kali dan kelayakan untuk menyertai peraduan “Beli Satu Percuma Satu” yang dilanjutkan sehingga 12 April 2026. Selain itu, program kesetiaannya turut ditawarkan dengan tambahan rebat tunai RM1,000, atau Skim Kerajaan yang menawarkan yang juga ditawarkan dengan rebat tunai RM1,000.
Turut ditawarkan ialah pilihan aksesori tulen Mitsubishi dengan potongan harga 20% bagi 50 pembeli terawal. Ini melibatkan pakej seperti Excitement Package (RM3,280); Fashion Roof Rail Package (RM1,750); dan Practical Package (RM560).
Xforce dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan DRB-Hicom di Pekan, Pahang. Ia menampilkan ukuran dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.
Dari segi saiz, Mitsubishi Xforce berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Toyota Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi. Xforce juga memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) yang terbaik dalam kelasnya, mencecah 222 mm — HR-V dengan 196 mm, Traz 210 mm.
Model ini digerakkan dengan enjin 4A91 petrol 1.5 NA DOHC MIVEC yang sama seperti digunakan oleh MPV Xpander, berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum sebanyak 141 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan kotak gear CVT yang memacu roda hadapan, dan bukannya transmisi automatik empat-kelajuan seperti Xpander.
GALERI: Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia
GALERI: Mitsubishi Xforce 2026 dengan aksesori
The post Mitsubishi Xforce – 900 unit akan diserahkan kepada pelanggan tak sampai sebulan selepas dilancarkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
































































































































































































