Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun mengeluarkan data bagi pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan April 2026, dan seperti biasa berdasarkan data tersebut kami sediakan carta untuk 20 jenama terlaris yang dijual sepanjang bulan lalu.
Sekali lagi Perodua berada di tempat pertama, namun berbanding tiga bulan sebelumnya di mana pengeluar dari Rawang itu konsisten dengan jualan pada julat lebih 20k unit, untuk April 2026 buat pertama kali untuk tahun ini Perodua mencatatkan jualan bulanan melebihi 30k unit iaitu 32,065 unit. Ini juga membolehkan Perodua mencapai jualan kumulatif tahun (YTD) sehingga April melebihi 100,000 unit iaitu 106,298 unit.
Proton juga masih lagi kekal di tempat kedua dengan mencatatkan pendaftaran April berjumlah 17,980 unit, menjadikan jumlah YTD kini 66,420 unit. Kedudukan ketiga juga tidak berubah dengan Toyota mencatatkan pendaftaran 9,055 unit (31,254 YTD), namun angka ini termasuk dengan jumlah pendaftaran kenderaan recond seperti Alphard dan Vellfire.
Juga masih sama adalah tempat keempat dan kelima iaitu Honda dan Omoda|Jaecoo dengan jualan masing-masing 3,969 unit (17,566 YTD) dan 1,590 unit (5,215 YTD). Manakala Mitsubishi yang baru melancarkan SUV XForce bulan lalu berjaya melonjak ke tempat keenam dengan pendaftaran sebanyak 1,576 unit (4,637 YTD) berbanding tempat tujuh pada Mac.
Jenama yang berada di tempat keenam bulan sebelumnya iaitu Mazda jatuh ke tempah ke tujuh pada April dengan jumlah pendaftaran 1,428 unit (3,767 YTD). BYD turut mencatatkan jualan bulanan tertingginya tahun ini pada bulan lalu dengan jualan 1,413 unit (3,674 YTD).
Dengan pelancaran SUV T2 pada bulan Mac membolehkan Jetour mencatatkan jumlah jualan empat angka buat pertama kali di Malaysia pada April lalu iaitu 1,197 unit (2,877 YTD), membolehkan ia naik satu anak tangga untuk berada di tempat ke sembilan. Menutup senarai 10 terlaris ada adalah jenama mewah Jerman, Mercedes-Benz dengan jualan bulanan April berjumlah 891 unit (2,952 YTD).
Jenama induk bagi Jetour iaitu Chery pula hanya berada di tempat ke-11 berbanding nombor lapan pada bulan sebelumnya, dengan jualan April berjumlah 891 unit (3,936 YTD).
Lexus berada di tempat ke-12 dengan 586 unit (1,928 YTD), diikuti Great Wall Motor di tempat ke-13 dengan 562 unit (1.856 YTD), iCaur ke-14 dengan 547 unit (1,549 YTD), BMW ke-15 dengan 516 unit (2,182 YTD), Isuzu ke-16 dengan 510 unit (1,570 YTD) dan Nissan berada di kedududkan ke-17 dengan 388 unit (1,548 YTD).
Zeekr yang ‘hilang’ dari senarai Top 20 ini pada bulan lalu muncul kembali untuk berada di tempat ke 18 dengan jualan berjumlah 357 unit (1,214 YTD). MINI juga muncul dalam carta bulan ini untuk berada di tempat ke-19 dengan jualan sebanyak 206 unit pada April (606 YTD), manakala Ford berada di tempat ke-20 dengan jualan April sebanyak 189 unit (1,062 YTD).
The post 20 jenama terlaris April 2026 – Perodua no.1 catat lebih 32k unit, Proton 18k; Mitsu naik, Jetour atasi Chery appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















