Pasaran skuter Malaysia kini menerima kemasukan rangkaian baru skuter Peugeot bagi tahun 2026 yang membabitkan tiga model termasuk satu varian tambahan. Mendahului barisan ialah Peugeot XP400 yang ditawarkan pada harga RM43,990.
Turut diperkenalkan ialah Peugeot Django Classic 150 pada harga RM14,990 dan Peugeot Django CafeRacer berharga RM16,990, manakala model paling mampu milik dalam katalog tersebut ialah Peugeot Speedfight 4+ yang dijual pada harga RM9,990.
XP400 tampil sebagai skuter bergaya adventure dan dibawa masuk ke Malaysia sebagai unit import penuh (CBU). Model ini menggunakan enjin Peugeot PowerMotion satu silinder bersesaran 400 cc dengan sistem penyejukan cecair serta mematuhi piawaian emisi Euro 5. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 36.7 hp pada 8,150 rpm dan tork maksimum 38.1 Nm pada 5,400 rpm.
Bagi aspek tunggangan, XP400 dilengkapi fork USD berdiameter 41 mm di hadapan dengan jarak gerak suspensi 140 mm, manakala bahagian belakang menggunakan monoshock. Sistem brek pula menggunakan cakera hidraulik berkembar bersaiz 295 mm di hadapan dan cakera tunggal 240 mm di belakang, lengkap dengan sistem ABS dua saluran sebagai ciri standard.
Skuter adventure ini menggunakan rim jejari bersaiz 17 inci di hadapan dan 15 inci di belakang dengan tayar bersaiz 110/70 serta 160/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 815 mm dengan berat keseluruhan 231 kg, manakala tangki bahan api mampu membawa 13.5 liter petrol.
Paparan tunggangan XP400 menggabungkan skrin TFT-LCD bersama meter analog berkembar untuk kelajuan dan rpm enjin. Turut tersedia ialah sistem sambungan Bluetooth I-Connect yang membolehkan navigasi turn-by-turn dipaparkan menerusi telefon pintar penunggang.
Beralih kepada model bergaya retro, Django Classic dan Django CafeRacer, ia menggunakan enjin satu silinder empat injap bersesaran 150 cc dengan sistem penyejukan cecair. Kuasa dihasilkan adalah sebanyak 14.5 hp pada 7,500 rpm bersama tork 13.8 Nm pada 5,500 rpm.
Kedua-dua varian Django hadir dengan sistem ABS sebagai kelengkapan standard serta menggunakan brek cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang. Saiz rim pula ialah 12 inci bagi kedua-dua roda dengan tayar bersaiz 120/70.
Dari segi praktikaliti, Django menyediakan ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis fullface. Tempat duduknya mempunyai ketinggian 780 mm, manakala dua ruang simpanan berkunci turut disediakan pada bahagian hadapan bersama soket kuasa 12-Volt di sebelah kanan.
Sementara itu, Peugeot Speedfight 4+ tampil dengan imej lebih sporty dan dikuasakan enjin SmartMotion satu silinder bersesaran 150 cc bersama sistem penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan 12.5 hp pada 7,500 rpm serta tork maksimum 13.2 Nm pada 5,500 rpm.
Model ini menggunakan rim bersaiz 13 inci di hadapan dan belakang dengan tayar 130/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 800 mm manakala berat keseluruhan ialah 125 kg. Tangki bahan api pula berkapasiti 7.4 liter, sementara sistem brek menggunakan cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang lengkap dengan ABS dua saluran sebagai ciri standard.
GALERI: Peugeot XP400 GT
GALERI: Peugeot Django 150 Cafe Racer
GALERI: Peugeot Django 150 Classic
GALERI: Peugeot Speedfight4 150
The post Peugeot Motocycles lancar rangkaian skuter untuk Msia – XP400 GT, Django, Speedfight4, dari RM10k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































































































