Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan penawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri “P_P” sempena dengan sambutan ulangtahun JPJ ke-80.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, NPI ini akan dibuka untuk bidaan awam menerusi platform dalam talian JPJeBid bermula 20 April 2026. Bidaaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 April dan keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 April 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.
“Nombor pendaftaran eksklusif ini dibuka bersempena lapan dekad penubuhan Jabatan. Pemilihan tanda indeks “P_P” mencerminkan peranan JPJ dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan, selain sinonim dengan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas meluncurkan NPI P_P ini di George Town hari ini, laporan Bernama.
Katanya lagi, harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori iaitu nombor utama bermula RM20,000, premium (RM5,000), menarik (RM2,500), popular (RM500) dan biasa (RM300). Di mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.
Aedy Fadly turut memaklumkan bahawa sempena dengan Karnival Mega JPJ Madani 2026 yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 24 hingga 26 April ini, pihaknya akan menawarkan hampir 50,000 nombor pendaftaran untuk dijual terus dengan diskaun 50%.
Katanya, sebagai contoh, nombor menarik akan ditawarkan dengan harga bermula RM250, melibatkan baki nombor yang belum didaftarkan sebelum ini dan hanya boleh dibeli di karnival berkenaan pada hari terakhir penganjurannya sahajaiaitu 26 April 2026.
The post JPJeBid: Nombor pendaftaran istimewa P_P dibuka bidaan pada 20-24 Apr, sempena ulangtahun ke-80 JPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















