Toyota Yaris Cross pasaran Eropah diberi kemas kini bagi tahun 2026, selepas kali terakhir diperbaharui dua tahun lalu. Model ini dikeluarkan di Perancis dan akan ditawarkan dalam beberapa varian iaitu Mid, Mid+, High serta GR Sport.
Bagi kemas kini kali ini, perubahan tertumpu kepada rekaan luaran dan spesifikasi kelengkapan. Yaris Cross 2026 masih menggunakan enjin petrol tiga silinder 1.5 liter NA, dipadankan dengan transmisi CVT. Dua pilihan kuasa ditawarkan, iaitu 130 PS dengan 185 Nm serta 116 PS dengan 141 Nm, bersama pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda.
Dari segi penampilan, bahagian hadapan menampilkan gril baru dengan corak sarang lebah dalam warna badan, dipadankan dengan kemasan hitam di bahagian bawah yang bersambung ke lengkung roda hadapan bagi mengekalkan imej SUV yang lebih tegap. Lampu utama LED turut direka semula dengan lampu nyalaan siang binaan dalam. Reka bentuk rim juga dikemas kini, dengan saiz 17 inci untuk varian Mid+ dan 18 inci bagi varian High.
Di bahagian kabin, varian Mid+ kini menerima tempat duduk dengan tahap keselesaan dan sokongan sisi yang lebih baik, yang sebelum ini hanya terdapat pada varian High. Sementara itu, varian High diperkenalkan dengan kemasan separa kulit SakuraTouch yang menggunakan bahan berasaskan tumbuhan serta bahan kitar semula, sekaligus membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam penghasilan bahan sehingga 95 peratus berbanding kulit asli.
Ciri tambahan lain termasuk lampu suasana dan pengecas tanpa wayar yang kini diberikan terus bagi varian Mid+ ke atas, manakala varian High turut dilengkapi pintu but berkuasa elektrik. Varian GR Sport pula diperkenalkan sebagai tambahan baru dalam rangkaian ini, menggunakan penggerak Hybrid 130. Varian asas Mid kekal sebagai satu-satunya yang menggunakan penggerak Hybrid 115.
Turut ditawarkan adalah varian GR Sport, yang tampil dengan rekaan luaran dan dalaman tersendiri serta talaan suspensi yang dipertingkat untuk pengendalian lebih tajam. Ia menerima bampar hadapan unik, rim aloi 18 inci dua tona, serta tempat duduk sport dengan kemasan suede, logo GR dan kemasan dalaman khas.
Dari aspek keselamatan, sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kini ditambah dengan fungsi brek sokongan parkir sebagai standard untuk varian Mid+ ke atas, manakala varian High turut dilengkapi pemantauan titik buta.
Sistem infotainmen pula menggunakan Toyota Smart Connect dengan navigasi berasaskan cloud sebagai standard, lengkap dengan pengecaman suara dan pembantu suara. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar turut disediakan untuk sambungan telefon pintar.
Model ini dipasang di kilang Toyota Motor Manufacturing France dan dijadualkan mula dipasarkan di Eropah pada penghujung bulan ini.
GALERI: Toyota Yaris Cross 2026 pasaran Eropah
GALERI: Toyota Yaris Cross GR Sport 2026 pasaran Eropah
The post Toyota Yaris Cross 2026 pasaran Eropah didedah – enjin hibrid tiga silinder 1.5L NA, varian GR Sport appeared first on Paul Tan’s Automotive News.














































