Sepanjang hujung minggu lalu, tersebar laporan media yang menyatakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) didakwa telah mengenakan beberapa syarat terhadap rancangan pemasangan tempatan (CKD) oleh BYD, yang dikatakan sukar dipersetujui oleh pengeluar dari China itu.

Menurut laporan tersebut, antara syarat yang didakwa dikenakan termasuk keperluan untuk mengeksport sehingga 80 peratus daripada jumlah pengeluaran di Tanjung Malim, manakala baki 20 peratus pula hanya boleh dijual di pasaran tempatan dengan harga melebihi RM200,000 seunit.

Perkara ini pantas menjadi perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai perbincangan di laman web serta media sosial. Namun, kekurangan maklumat terperinci telah menyebabkan pelbagai spekulasi timbul, termasuk andaian yang tidak disahkan.

MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

Susulan dakwaan dan kekeliruan yang semakin tersebar, MITI kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan rasmi (kami sertakan di bawah) bagi menjelaskan situasi sebenar, termasuk memperincikan syarat lesen pengilangan untuk BYD serta dasar automotif berkaitan.

Di dalam kenyataan tersebut, MITI menegaskan komitmennya untuk membangunkan industri automotif negara secara mampan, sambil menjelaskan bahawa keputusan BYD untuk menubuhkan operasi di Tanjung Malim mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem industri Malaysia serta potensi pertumbuhan jangka panjang negara sebagai hab automotif serantau.

Kerajaan turut mengalu-alukan penyertaan pengeluar global bukan sahaja dalam pemasangan kenderaan, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk pembuatan komponen, penyelidikan dan pembangunan serta logistik.

MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

Dalam masa sama, MITI menekankan kepentingan pemain tempatan seperti Proton dan Perodua, yang kini menguasai lebih 63 peratus pasaran kenderaan tempatan serta menyokong lebih 700,000 pekerjaan.

Kedua-dua syarikat ini juga mencatat kadar lokalisasi melebihi 75 peratus hasil pelaburan berdekad lamanya dalam pembangunan vendor dan teknologi tempatan. Langkah yang diambil ini bukan bersifat perlindungan, tetapi ke arah pembangunan

Mengulas dakwaan bahawa BYD mungkin menilai semula pelaburannya, MITI menjelaskan bahawa syarikat itu telah pun menerima Lesen Pengilangan interim pada 29 September 2025 untuk pemasangan kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuk EV dan plug-in hybrid di Tanjung Malim, Perak Malaysia.

MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

Lesen tersebut diberikan berdasarkan model pengeluaran berorientasikan eksport, sejajar dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau serta memanfaatkan FTA Malaysia dan rangkaian bekalan serantau yang dimiliki.

Antara syarat utama yang dikenakan ialah had jualan domestik sebanyak 10,000 unit setahun, bersamaan kira-kira 20 peratus daripada kapasiti pengeluaran, manakala selebihnya perlu disasarkan ke pasaran eksport. MITI menegaskan bahawa pendekatan ini bukan satu sekatan, sebaliknya strategi untuk mengukuhkan integrasi rantaian bekalan global dan meningkatkan imbangan perdagangan negara.

Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembuatan bernilai tinggi, proses pemasangan perlu merangkumi operasi badan, cat dan trim di dalam negara, dan bukan sekadar pemasangan komponen import. Syarat harga minimum atas jalan (OTR) bagi kenderaan CKD pula ditetapkan pada RM100,000, sekaligus menafikan dakwaan bahawa harga minimum ditetapkan sehingga RM200,000.

MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

MITI turut menjelaskan bahawa tiada larangan terhadap import model pikap baru seperti yang didakwa dalam media sosial, sebaliknya kenderaan komersial masih dibenarkan diimport dalam kuota terhad sambil menggalakkan pemasangan tempatan.

Menurut kementerian itu, dasar semasa bukan bersifat perlindungan semata-mata, tetapi bertujuan membangunkan industri melalui aktiviti nilai tambah tinggi seperti pemindahan teknologi, pembangunan kejuruteraan dan pengeluaran berskala eksport. Pendekatan ini selaras dengan Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menyasarkan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi baru.

MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

MITI turut menegaskan bahawa Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan asing termasuk dari China, dengan beberapa pengeluar seperti Chery Automobile telah menerima kelulusan untuk pengeluaran tempatan. Kehadiran jenama global seperti Mercedes-Benz dan Volvo sebagai pangkalan pemasangan serantau turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri automotif.

Secara keseluruhan, MITI menegaskan bahawa Malaysia tidak menutup pintu kepada pelabur, sebaliknya menetapkan kerangka dasar yang memastikan setiap pelaburan membawa nilai jangka panjang kepada ekonomi, termasuk penciptaan pekerjaan, pembangunan vendor tempatan dan pemindahan teknologi.

The post MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts