Ini bukanlah kali pertama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar penelitian lebih mendalam dilakukan terhadap cara menangani keselamatan jalan raya yang melibatkan pemandu warga emas berusia 61 tahun ke atas, memandangkan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan golongan itu akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh enam tahun.
Menurut pihak polis, berdasarkan data kemalangan jalan raya yang direkodkan, seramai 19,812 pemandu dalam lingkungan umur tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya antara tahun 2019 hingga 2014. Daripada jumlah itu, 6,733 direkodkan meninggal dunia, manakala 2,132 mengalami kecederaan parah dan 10,947 cedera ringan.
Maka disebabkan statistik itulah yang mendorong pihak polis untuk menggesa agar satu kajian dilakukan bagi melihat bagaimana isu keselamatan jalan raya dalam kalangan pemandu warga emas dapat ditangani, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menjelaskan bahawa tujuan cadangan ini bukanlah untuk menghalang warga emas daripada memandu, tetapi untuk mewujudkan satu mekanisme bagi menilai tahap kesihatan pengguna jalan raya berusia supaya keselamatan di jalan raya terjamin untuk semua pihak.
Beliau menambah bahawa pendekatan itu perlu diseimbangkan dengan penilaian terhadap tahap kesihatan dan keupayaan memandu seseorang, dan bukan semata-mata berdasarkan faktor umur. “Umur bukanlah halangan untuk memandu dengan berhemah, namun JSPT percaya bahawa aspek keselamatan yang melibatkan pemandu warga emas perlu diambil kira,” katanya.
Tambahnya, adalah wajar bagi semua pihak berkepentingan menjalankan kajian menyeluruh mengenai isu ini sebelum sebarang keputusan dibuat, terutamanya oleh Kementerian Pengangkutan. “Kami faham bahawa untuk menghentikan golongan ini daripada memandu bukanlah perkara mudah kerana faktor budaya di Malaysia. Ada yang menggunakan kenderaan untuk ke surau, mengambil cucu dari sekolah dan sebagainya,” ujarnya.
Gesaan terbaharu untuk meneliti perkara ini susulan cadangan yang dibuat oleh JSPT pada tahun 2021, apabila ia mencadangkan supaya syarat khas dikenakan bagi mengehadkan pengeluaran Lesen Memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas serta mewajibkan mereka menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat untuk memandu.
Antara cadangan yang dikemukakan adalah pemandu warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen sekiranya mereka mendapat pengesahan daripada doktor bahawa mereka layak memandu dari segi mental dan fizikal, serta tempoh pembaharuan lesen bagi pemandu warga emas perlu dipendekkan.
Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan susulan diambil, walaupun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menyuarakan perkara yang sama tahun lalu, iaitu mencadangkan agar warga emas berusia 65 tahun ke atas menjalani penilaian kecekapan dan kesihatan sebelum lesen mereka boleh diperbaharui.
Perkara ini akhirnya menimbulkan khabar angin bahawa pemeriksaan fizikal akan diwajibkan kepada pemandu warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui LMM, sehingga mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan kenyataan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, dan tiada syarat tambahan dikenakan kepada pemandu warga emas semasa proses pembaharuan LMM mereka.
The post PDRM gesa semakan keselamatan terhadap pemandu 60 tahun ke atas – catat 6,733 kematian sejak 2019 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.