Proton terus mengungguli dengan jumlah tertinggi bagi pendaftaran kenderaan elektrik (EV) ketika ini. Merujuk data terkini daripada Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) bagi bulan April 2026, sejumlah 2,408 unit EV keluaran Proton eMas telah didaftarkan.

Ini menjadikan jumlah jualan EV Proton setakat ini (YTD) bagi tahun 2026 ialah 9,863 unit, membolehkannya mencapai angka jualan lima angka dalam masa terdekat, serta mengatasi angka keseluruhan yang dicapai sepanjang tahun lalu. Sebagai latar, jumlah EV Proton eMas yang didaftarkan bagi keseluruhan tahun 2025 ialah 8,890 unit, yang meletakkannya di kedudukan kedua selepas BYD yang menjual sebanyak 14,407 unit.

Bagi April lalu pula, BYD kini berada di tempat kedua di belakang Proton dengan mencatatkan 1,413 unit didaftar. Ini juga menandakan peningkatan sebanyak 60% dan menjadi jumlah jualan bulanan tertinggi jenama itu dengan YTD setakat ini sebanyak 3,674 unit.

iCaur menduduki tempat ketiga dengan 547 unit (1,549 unit YTD), manakala Zeekr menduduki tempat keempat dengan 357 unit (1,214 unit YTD). Kedua-duanya merupakan satu-satunya jenama yang melepasi paras 1,000 unit pendaftaran bagi YTD setakat ini, walaupun mungkin akan disertai juga oleh jenama lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16

Tesla pula menduduki tempat kelima dengan 172 unit didaftarkan pada bulan April, serta jumlah YTD sebanyak 830 unit. Ini diikuti oleh Xpeng yang berada di tempat keenam dengan 150 unit: menjadi angka jualan bulanan terbaik jenama itu bagi tahun 2026 setakat ini, dengan jumlah YTD sebanyak 394 unit.

Kedudukan Leapmotor pula lebih baik berbanding bulan Mac, dengan naik ke tempat ketujuh untuk April dengan 108 unit (429 unit YTD), manakala MG menyaksikan penurunan jualan kepada 92 unit (579 unit YTD) dan berada di tempat kelapan. Melengkapkan kedudukan sepuluh teratas ialah TQ Wuling di tempat kesembilan dengan 91 unit (241 unit YTD) dan MINI di tempat ke-10 dengan 81 unit (160 unit YTD).

Di tempat ke-11 ialah BMW, yang menyaksikan peningkatan pendaftaran kepada 73 unit bagi bulan April, dengan 212 unit YTD. Great Wall Motor pula tidak jauh di belakangnya dengan 70 unit (177 unit YTD), menduduki tempat ke-12.

20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16

Sementara itu, Volvo menghuni tempat ke-13 dengan 53 unit (217 unit YTD) dan diikuti rapat oleh model EV pertama oleh Perodua. QV-E yang menjadi EV pertama dan satu-satunya keluaran jenama tempatan itu menyaksikan peningkatan kepada 52 unit pada bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan EV Perodua setakat ini sebanyak 64 unit.

Seterusnya, Denza berada di tempat ke-15 dengan 45 unit (144 unit YTD), manakala Toyota membuat penampilan pertamanya dalam senarai 20 teratas tahun ini dengan 40 unit (42 unit YTD) pada bulan April untuk menduduki tempat ke-16. Baki empat jenama lagi ialah Dongfeng yang berada di tempat ke-17 dengan 31 unit (123 unit YTD), smart di tempat ke-18 dengan 26 unit (107 unit YTD), Neta di tempat ke-19 dengan 18 unit (64 unit YTD) dan Chery di tempat ke-20 dengan 15 unit (44 unit YTD).

The post 20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts