Geely tidak perlu menunggu lama untuk meraih kemenangan sulungnya dalam kejohanan peringkat tertinggi FIA TCR World Tour – hanya pada pusingan pertama, musim pertama jenama itu bertanding, Geely Preface TCR sudahpun berjaya memenangi perlumbaan pertamanya! Dan bertambah manis, kejayaan itu dicapai oleh pemandu dari China sendiri iaitu Ma Qing Hua.
Secara spesifiknya, Ma memenangi Race 2 untuk pusingan pembukaan TCR World Tour 2026 yang berlangsung di litar Misano, Itali pada hujung minggu lalu. Ma memulakan perlumbaan pada hari Ahad itu dari petak ketiga berdasarkan undang-undang reverse grid yang mengambil kira keputusan perlumbaan Race pada Sabtu, dan berjaya meluru ke tempat kedua sebaik sahaja masuk ke selekoh pertama, lap pertama.
Dan setelah pertarungan sengit dengan pelumba Honda Civic Type R TCR Jenson Brickley dari Britain serta Mikel Azcona dari Sepanyol yang memandu jentera Hyundai Elantra N TCR pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse, Ma Qing Hua berjaya menamatkan perlumbaan 15 lap berkenaan di kedudukan pertama.
Azcona berada di tempat kedua, dan tempat ketiga adalah milik seorang lagi pemandu Geely iaitu Thed Bjork dari Sweden. Geely juga sebenarnya sudah mendapat kedudukan podium pertamanya lebih awal iaitu pada Race 1 apabila seorang lagi pelumbanya yang berasal dari Perancis iaitu Yann Ehrlacher berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Penyertaan Geely dalam kejohanan TCR World Tour ini sudahpun diumumkan pada akhir tahun lalu. Program ini dikendalikan oleh firma perlumbaan dari Sweden iaitu Cyan Racing yang sebelum ini membangunkan kereta-kereta lumba dan jalan raya Volvo Polestar, serta menyertai TCR World Tour dari 2019 sehingga tahun lalu dengan membawa sub jenama Geely iaitu Lynk & Co.
Sepanjang tujuh tahun berlumba, Lynk & Co Cyan Racing berjaya menggondol enam juara dunia kategori pengeluar dan tiga juara dunia kategori pemandu dalam FIA TCR World Tour.
Tiada sebarang perincian didedahkan berkenaan jentera Geely Preface TCR baharu ini, namun boleh dijangka ia adalah saduran dari jentera Lynk & Co 03 TCR sebelum ini kerana Preface dan 03 kedua-duanya diasaskan dari platform CMA Volvo.
Versi produksi kedua-dua model itu juga dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E juga binaan Volvo, di mana enjin berkenaan dikilangkan oleh Aurobay di Sweden. Aurobay kini merupakan divisi di bawah Horse Powertrain, iaitu firma yang membangunkan dan membekalkan unit rangkaian kuasa berasaskan enjin pembakaran dalaman, juga milik Geely.
Kereta-kereta lumba yang dibina dengan spesifikasi FIA TCR ini perlulah diasaskan dari kerangka badan serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti model produksi jalan raya. Sebab itulah kejohanan ini hanya disertai oleh model-model yang dihomologasikan dari model prestasi sebenar seperti Hyundai Elantra N dan juga Honda Civic Type R.
The post Geely catat kemenangan sulung di TCR World Tour – guna enjin Horse Powertrain, dipandu pelumba China appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















