Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun mengeluarkan data bagi pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan April 2026, dan seperti biasa berdasarkan data tersebut kami sediakan carta untuk 20 kereta terlaris yang dijual sepanjang bulan lalu.
Walaupun minggu lalu Proton telah mengumumkan bahawa produksi Saga telah pulih seperti sediakala yang membolehkan jumlah unit yang dihantar kepada pelanggan kembali tinggi, namun ia masih tidak mampu mengatasi Bezza kerana Perodua telah mempertingkatkan penghantaran model berkenaan dengan mencatatkan 9,431 unit pendaftaran sepanjang bulan lalu.
Ini menyebabkan Saga masih berada di tempat kedua dengan pendaftaran sebanyak 8,207 unit sepanjang April 2026, manakala Perodua Axia pula jatuh ke tempat ketiga dengan pendaftaran 7,294 unit.
Konsistensi prestasi jualan Bezza juga membolehkan jualan kumulatif untuk empat bulan pertama (YTD) tahun ini mencecah 32,386 unit, dan Saga turut kekal di tempat kedua dengan jumlah jualan YTD mencapai 29,897 unit. Axia yang terjual sebanyak 24,955 unit untuk empat bulan pertama tahun ini juga masih berada di tempat ketiga.
Kembali ke jualan bulanan untuk Mac, Myvi berada di tempat keempat dengan 5,828 unit didaftarkan (19.478 YTD). Proton X50 yang berada di tempat kelima bulan sebelumnya jatuh ke tempat ke enam pada April, terjual sebanyak 2,468 unit (9,557 unit YTD). X50 dipintas oleh Perodua Alza yang kembali naik ke tempat kelima dengan jualan sebanyak 4,115 unit sepanjang April (12,806 YTD).
Namun bagi sedan segmen-C Proton S70, jualannya pada April melonjak kepada 2,377 unit (8,175 YTD) bagi membolehkan ia naik satu lagi anak tangga ke tempat ke tujuh. Dua SUV Perodua turut mencatatkan peningkatan pada bulan April di mana Ativa terjual sebanyak 2,230 unit (6,514 YTD) naik ke tempat ke lapan dan jualan Traz melonjak kepada 2,220 unit (7,310 YTD) bagi berada di tempat ke sembilan.
Walaupun harga diesel masih kekal tiggi, trak pikap Toyota Hilux masih mampu kembali menjadi model bukan nasional paling laris untuk April 2026 dan berada di tempat ke-sepuluh dengan rekod pendaftaran sebanyak 1,804 unit (6,568 YTD). Manakala model EV paling laris di Malaysia iaitu Proton eMas 5 berada di tempat ke-11 dengan pendaftaran 1,772 unit (8,473 YTD) sepanjang bulan lalu.
Sedan segmen-B Toyota Vios turut mencatatkan peningkatan bulan ini dengan jualan 1,706 unit (5,451 YTD) naik ke tempat ke-12 berbanding ke-14 bulan sebelumnya. Seperti biasa JPJ mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model Honda City sedan dan Hatchback, dan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,498 unit pada Mac (6,730 unit YTD) untuk berada di tempat ke-13, jatuh dari kedudukan ke enam pada Mac.
Manakala MPV mewah Toyota Alphard berada di tempat ke-14 dengan rekod pendaftaran 1,487 unit (5,543 unit YTD) – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun. SUV segmen-B Mitsubishi XForce yang baru dilancarkan bulan lalu pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 1,035 unit, sekaligus menjadi SUV bukan nasional paling laris menewaskan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.
Di kedudukan ke-15 pula adalah satu lagi model eMas dari Proton yang berjaya masuk ke senarai 20 terlaris ini, iaitu eMas 7 PHEV yang dilancarkan Februari lalu, mencatatkan pendaftaran 1,013 unit sepanjang April. Toyota Corolla Cross dan Perodua Aruz pula kekal di tempat ke-17 dan ke-18 dengan pendaftaran masing-masing 976 unit (3,531 YTD) dan 895 unit (2,785 YTD).
Honda HR-V yang pada Mac berada di tempat ke-11, jatuh ke tangga ke-19 pada April dengan jualan 886 unit (4,389 YTD). Manakala Jetour T2 yang baru dilancarkan pada bulan Mac berjaya mencatatkan jualan 884 unit pada April. Ini merupakan kali pertama Jetour T2 tersenarai dalam carta 20 terlaris ini, dan ia menjadi satu-satunya model dari China yang tersenarai. Model-model China lain yang dilihat agak popular seperti Jaecoo J7 dan juga siri Chery Tiggo langsung tidak tersenarai pada kali ini.
The post 20 kereta terlaris April 2026 – Bezza masih no.1, Saga kedua; XForce, eMas 7 PHEV, Jetour T2 masuk senarai appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















