Selepas diperkenalkan secara rasmi pada Januari lalu, SUV terbaru daripada Zeekr iaitu 8X kini membuat penampilan awam pertamanya di acara Auto China. Model ini merupakan kenderaan plug-in hybrid elektrik (PHEV) yang diletakkan di bawah model perdana 9X dalam barisan produk jenama tersebut.
Berbeza dengan 9X, Zeekr 8X dibangunkan menggunakan platform SEA-S, yang sebelum ini dikenali sebagai Electric Premium Architecture (EPA). Platform ini merupakan versi berbeza daripada SEA-R yang digunakan oleh 9X, sekaligus memberikan identiti tersendiri kepada model baru ini.
Melihat di bahagian luar, 8X tampil dengan pendekatan yang lebih sporty dan berlekuk berbanding 9X yang lebih berkotak dan mewah, malah sering dibandingkan dengan Rolls-Royce Cullinan. Walaupun begitu, kedua-dua model masih berkongsi beberapa elemen reka bentuk seperti gril hadapan bersaiz besar, lampu utama LED berbentuk C dengan elemen pencahayaan ‘starlight’, serta lampu nyalaan siang mendatar.
Di bahagian lain, tiang C pada 8X direka lebih sederhana berbanding 9X yang lebih tebal dan kemasan perak. Lampu belakang pula menggunakan rekaan melintang penuh dengan grafik dua jalur, namun dipendekkan di bahagian tengah untuk memberi ruang kepada logo Zeekr dan nombor pendaftaran. 8X juga menggunakan pemegang pintu jenis tarik, berbeza dengan jenis tersembunyi pada 9X, selain fungsi pintu yang boleh ditutup secara automatik dengan satu sentuhan.
Masuk ke ruang kabin, 8X menampilkan suasana moden dengan papan pemuka yang didominasi oleh dua skrin sesentuh OLED bersaiz 16 inci resolusi 3.5K, termasuk satu khas untuk penumpang hadapan. Turut disediakan ialah panel instrumen digital 13.02 inci dan head-up display realiti tambahan bersaiz 44 inci. Sesetengah varian turut dilengkapi skrin menggantikan cermin pandang belakang konvensional yang memaparkan imej daripada kamera belakang.
Penumpang belakang tidak diketepikan, dengan kehadiran skrin kawalan lapan inci serta skrin OLED 17 inci resolusi 3K pada siling. Kemudahan lain termasuk meja lipat, peti sejuk mini dan sistem audio premium 29 pembesar suara daripada Naim dengan sokongan Dolby Atmos. Bergantung kepada varian, sistem kokpit pintar dikendalikan oleh satu atau dua cip Qualcomm 8295 bersama pembantu maya AI Eva.
Ciri keselesaan turut dipertingkat dengan tempat duduk barisan hadapan dan kedua yang dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan serta urutan. Kemasan dalaman menggunakan gabungan kulit Nappa dan Alcantara, bersama elemen kemewahan lain seperti lapisan bumbung suede, kemasan kayu, butang bertekstur kristal dan lampu suasana dengan sehingga 16.8 juta pilihan warna.
Dari sudut teknologi pemanduan, 8X dilengkapi sistem G-ASD (Geely Afari Smart Driving) yang dikuasakan cip Nvidia Drive Thor-U serta pelbagai sensor termasuk LiDAR di bumbung. Sistem bantuan pemandu (ADAS) yang komprehensif turut disediakan, termasuk kawalan jelajah adaptif, bantuan pertukaran lorong, parkir automatik, brek kecemasan autonomous dan fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 3 melalui Navigation Zeekr Pilot.
Di China, harga Zeekr 8X bermula dari 356,800 yuan (sekitar RM207,000) hingga 426,800 yuan (sekitar RM248,000) untuk varian Max, Ultra dan Ultra+. Terdapat juga varian paling mewah dikenali sebagai Dawn yang ditawarkan pada harga 500,800 yuan (sekitar RM290,000).
Kesemua varian utama ditawarkan dalam konfigurasi lima atau enam tempat duduk, dengan pilihan tiga baris bagi versi enam tempat duduk. Model ini menggunakan seni bina PHEV 900 volt dengan sokongan pengecasan pantas 6C serta bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC).
Gabungan enjin dan motor elektrik menghasilkan kuasa sehingga 897 PS dan tork 935 Nm bagi varian biasa, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 220 km/j. Enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder menghasilkan 279 PS dan digandingkan dengan bateri sama ada 55 kWh atau 70 kWh. Jarak gerak elektrik sepenuhnya boleh mencecah sehingga 328 km (WLTP), manakala jarak keseluruhan mencapai sehingga 1,205 km.
Masa pengecasan juga mengagumkan, dengan bateri boleh dicas dari 20% ke 80% dalam hanya sembilan minit menggunakan pengecas DC. Turut disertakan ialah fungsi vehicle-to-vehicle (V2V) dan vehicle-to-load (V2L), serta sistem suspensi udara dual chamber dengan kawalan redaman berterusan.
Varian Dawn tampil lebih agresif dari segi reka bentuk dengan tambahan kit badan serta kemasan hitam. Ia juga dilengkapi ciri off-road seperti sensor kedalaman air dan sistem penglihatan malam inframerah.
Apa yang paling menonjol ialah konfigurasi tiga motor yang menghasilkan sehingga 1,400 PS dan 1,410 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 2.96 saat dan kelajuan maksimum 230 km/j. Varian ini turut dilengkapi rim tempa serta sistem brek Brembo dengan angkup enam piston.
Buat masa ini, masih belum ada pengesahan sama ada Zeekr 8X akan ditawarkan di pasaran Malaysia. Model ini baru sahaja dilancarkan di China, dan perancangan untuk pasaran global masih belum diumumkan secara rasmi.
The post Zeekr 8X dipamer di Beijing – PHEV 2.0T dengan kuasa sehingga 1,400 PS, WLTP hibrid 1,205 km, dari RM207k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.










































