Xpeng Malaysia telah memberikan bayangan kedatangan MPV Xpeng X9 facelift yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Sebelum ini, ia pernah dikesan sedang dibawa oleh lori pengangkut di sekitar Glenmarie, Shah Alam.

EV X9 facelift ini telah pun mula dijual di Thailand sejak Mac lalu dan diberikan beberapa perubahan signifikan, iaitu varian motor tunggal pacuan roda-hadapan (FWD) menerima peningkatan kuasa sebanyak 27 PS kepada 346 PS, manakala tork kekal pada 450 Nm. Selain itu, barisan model ini juga menerima varian bahari iaitu versi pacuan semua roda (AWD) dwi-motor yang menghasilkan gabungan kuasa 537 PS dan tork 640 Nm.

Kapasiti bateri bagi kedua-dua versi ini juga telah ditingkatkan, daripada 84.5 kWh kepada 94.6 kWh untuk versi bateri LFP, dan daripada 101.5 kWh kepada 110 kWh untuk versi bateri NMC di mana ia merupakan satu-satunya pilihan yang ditawarkan bagi varian pacuan semua roda (AWD) dwi-motor.

Xpeng X9 facelift bakal dilancar di Malaysia – varian FWD dan AWD, hingga 615 km WLTP, DC 542 kW
Xpeng X9 facelift bakal dilancar di Malaysia – varian FWD dan AWD, hingga 615 km WLTP, DC 542 kW

Peningkatan ini menghasilkan jarak perjalanan yang lebih jauh mengikut penarafan WLTP, iaitu 535 km bagi versi bateri LFP 94.6 kWh dan 615 km bagi versi pacuan roda hadapan (FWD) dengan bateri NMC 110 kWh. Sementara itu, varian pacuan semua-roda (AWD) dwi-motor diberi penarafan jarak perjalanan WLTP sejauh 580 km. Kelajuan pengecasan juga telah dipertingkatkan dengan ketara, sehingga 537 kW untuk versi bateri 94.6 kWh dan 542 kW untuk versi bateri 110 kWh. Semua varian mampu mengecas daripada 10% hingga 80% dalam masa hanya 12 minit, berbanding 20 minit sebelum ini.

Model ini dijangka dipasang secara tempatan oleh EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka, selain model X9 kenderaan elektrik jarak lanjutan (REEV) – yang dijangka menyertai rangkaian model di Malaysia dalam masa terdekat – serta SUV elektrik G6. Pengumuman oleh Bursa Malaysia pada bulan Disember mendedahkan bahawa pemasangan tempatan X9 dijadualkan bermula pada 25 Mei dan akan diteruskan sehingga suku pertama tahun 2028.

X9 versi facelift untuk pasaran eksport juga menerima beberapa penambahbaikan, termasuk pintu hadapan dengan fungsi penutupan lembut (soft-closing), pemasangan ISOFIX pada kedua-dua tempat duduk barisan kedua (sebelum ini hanya di sebelah kanan) serta pada barisan ketiga. Selain itu, suis fizikal untuk tingkap sisi belakang kini menggantikan unit kawalan sentuhan kapasitif yang digunakan sebelum ini.

Xpeng X9 facelift bakal dilancar di Malaysia – varian FWD dan AWD, hingga 615 km WLTP, DC 542 kW
Xpeng X9 facelift bakal dilancar di Malaysia – varian FWD dan AWD, hingga 615 km WLTP, DC 542 kW

Xpeng X9 facelift di Bangkok Motorshow 2026

Di bahagian dalam pula, X9 versi facelift menerima stereng baharu yang dilengkapi butang pintasan kamera 360 darjah serta suis ‘Mode’. Ia juga hadir dengan kemasan kayu baharu dan skema warna kabin yang diperbaharui. Ciri-ciri yang dikekalkan termasuk skrin sentuh infotainmen bersaiz 17.3-inci, paparan instrumen digital 10.25-inci, monitor belakang yang dipasang pada bumbung bersaiz 21.4-inci, peti sejuk belakang, serta kerusi kapten barisan kedua dengan pelarasan kuasa 18-hala yang dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan, urutan dan boleh direbah secara ‘zero gravity’ dengan satu sentuhan.

Sistem bantuan pemanduan pula dikuasakan oleh cip AI Turing terkini yang mampu memproses sehingga 2,250 TOPS (trilion operasi sesaat). Keupayaan ini membolehkan penggunaan model Visual-Language-Action (VLA) generasi kedua yang dikatakan dapat meningkatkan lagi ciri pemanduan automatik tahap tinggi kenderaan tersebut. Menurut XPeng, VLA 2.0 tidak memerlukan data latihan pemanduan tempatan untuk berfungsi, dan syarikat itu menyasarkan untuk memperkenalkan teknologi tersebut ke Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

The post Xpeng X9 facelift bakal dilancar di Malaysia – varian FWD dan AWD, hingga 615 km WLTP, DC 542 kW appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts